Anda di sini

USIA Labuan sasar tambah 1,000 ahli baharu

Advertisement
 Perwakilan dan pemerhati lelaki bergambar kenangan bersama Mohd Ali (lima kiri).
ALBUM: Perwakilan dan pemerhati lelaki bergambar kenangan bersama Mohd Ali (lima kiri).

LABUAN: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Labuan meletakkan sasaran menambah kira-kira 1,000 ahli baharu pada tahun ini.

Ketua USIA Bahagian Labuan Mohd Ali Mohamad Omar Bledram berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai kerana pertubuhan itu telah mempunyai 782 ahli ketika ini.

“Sasaran itu mampu dicapai jika setiap cawangan bekerja keras menambah ahli di cawangan masing-masing, sekurang-kurangnya 30 orang ahli sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Usia Pusat berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan Usia Bahagian Wilayah Persekutuan Labuan kali ke-33 Tahun 2019 yang diadakan di Dewan DSP Mohamed Omar Bledram, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Tetap Osman Matusin, Timbalan Ketua USIA Bahagian Labuan Datuk Abd Rahman Lamudin dan Naib Ketua Usia Bahagian Labuan Sahari Amdan.

Hadir sama, Ketua Wanita Hajah Rohani Awang Tengah dan Ketua Belia Yahya Bakri serta 63 perwakilan dan pemerhati yang mewakili 10 cawangan USIA.

Mohd Ali berkata, 782 ahli USIA Labuan itu kini berada di 10 cawangan iaitu Gersik, Saguking, Patau-Patau Satu, Patau-Patau Dua, Batu Arang, Lubok Temiang, Bebuloh, Durian Tunjong, Sungai Bedaun dan Lajau.

Tambah beliau, penambahan ahli baharu itu perlu melibatkan golongan belia yang bakal menjadi pelapis kepada kepimpinan USIA di peringkat cawangan dan bahagian.

“USIA Bahagian Labuan perlu bergerak lebih pantas bukan sahaja untuk menyebarluaskan syiar Islam tetapi juga membantu memantapkan pelbagai bidang yang membabitkan umat Islam di Wilayah Persekutuan Labuan amnya,”katanya.

Justeru, beliau mengajak pemimpin dan ahli USIA di semua peringkat agar mengukuhkan ikatan ukhuwah untuk memastikan hasrat dan harapan menjadikan pertubuhan itu terus relevan akan menjadi kenyataan.

Beliau juga berharap USIA di peringkat cawangan dan bahagian akan terus mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan untuk mendekatkan pertubuhan itu dengan masyarakat di wilayah ini.

Pada masa sama, Mohd Ali menasihatkan pemimpin dan ahli USIA agar sentiasa menjaga nama baik dengan menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama ahli serta bersama-sama menjayakan program yang dianjurkan USIA Bahagian Labuan.

Pada mesyuarat agung itu, 10 perwakilan dipilih untuk mewakili USIA Bahagian Labuan ke Mesyuarat dan Perhimpunan Agung USIA Pusat di Kota Kinabalu pada 22 hingga 24 November depan.

Terdapat kira-kira 22,000 ahli USIA di 27 Bahagian USIA di seluruh Sabah yang sewajarnya ditambah oleh bahagian dan cawangan yang membabitkan wanita dan belia.

Advertisement