Anda di sini

Perlu perubahan untuk bawa Sandakan maju ke depan

Advertisement
 Liau (tengah) bersama Vivian (dua, kanan) dan Teo (kanan) mencuba makanan di salah sebuah booth.
CUBA: Liau (tengah) bersama Vivian (dua, kanan) dan Teo (kanan) mencuba makanan di salah sebuah booth.

SANDAKAN: Daerah ini sememangnya sinonim dengan beberapa keunikan seperti Orang Utan, hidupan liar, hutan hujan dan juga mungkin ladang kelapa sawit.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, dunia kini sudah berubah dan ia akan terus berubah dari semasa ke semasa.

Berikutan itu, beliau berkata masyarakat Sandakan perlu cepat dan sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan itu dari pelbagai segi termasuk ekonomi, sukan, saintifik ataupun perkembangan kulinari agar tidak ketinggalan.

"Kita tidak lagi boleh hanya bergantung dengan Orang Utan untuk menarik pelancong datang ke Sandakan ataupun bergantung sepenuhnya dengan kelapa sawit untuk hasil eksport.

"Menyesuaikan diri dengan perubahan bukannya sesuatu yang mudah. Dalam situasi ini, saya memuji Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) yang berusaha tanpa henti dalam membawa Sandakan ke depan melalui budaya makanan yang unik agar dapat mencapai pengunjung yang lebih luas.

"Oleh itu, saya menyeru semua pihak termasuk STAN, jabatan dan agensi kerajaan, peserta, pengendali gerai, pengunjung dan masyarakat Sandakan untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini ke arah memajukan Sandakan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Festival Agrikultur dan Makanan Sandakan Kali Ke-2 di perkarangan letak kereta berhampiran Sekolah Menengah Yu Yuan, Batu 4 di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Liau Fui Fui.

Seperti yang diperlukan untuk mengembangkan sektor pelancongan sebagai usaha pertumbuhan kedua, Frankie berkata produk makanan dan kemahiran juga perlu dikembangkan untuk membolehkan Sandakan menjadi destinasi makanan premier di negara ini.

"Hampir 50 tahun lalu, kita telah mencipta tat UFO, dan saya tidak sabar untuk melihat lagi banyak ciptaan baharu.

"Kita ada mee udang besar tersendiri sejak sedekad yang lalu, dan saya berharap chef di sini akan mencipta hidangan makanan laut yang hebat untuk diperkenalkan kelak," jelasnya.

Festival seumpama buat pertama kalinya diadakan pada 2017 dengan kehadiran kira-kira 30,000 orang selain mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa.

Matlamat utama acara itu adalah untuk menonjolkan kepelbagaian yang terdapat di Sandakan, dari cara kulinari oleh pelbagai komuniti setempat selain mempamerkan betapa luasnya pengeluaran agrikultur.

Acara itu mengetengahkan gerai makanan, trak makanan, demonstrasi masakan, pertandingan serta booth agrikultur.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Presiden STAN, Teo Chee Kim.

  • oleh
  • Advertisement