Anda di sini

Pemandu maut kereta pacuan empat roda bertembung bas ekspres

Advertisement
 Kereta pacuan empat roda dinaiki mangsa selepas bertembung dengan bas ekspres di Kampung Sagindai.
REMUK: Kereta pacuan empat roda dinaiki mangsa selepas bertembung dengan bas ekspres di Kampung Sagindai.

RANAU: Seorang lelaki maut selepas kereta pacuan empat roda yang dipandunya bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 142 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan berhampiran Kampung Sagindai, di sini malam kelmarin.

Mangsa R. Ramesh, 50, meninggal dunia serta merta di lokasi dalam kejadian jam 10.15 malam itu.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, kejadian itu membabitkan sebuah kereta pacuan empat roda dan bas ekspres membawa 41 penumpang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan.

“Semasa hampir ke lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bas ekspres berkenaan.

 Keadaan bahagian hadapan bas ekspres yang dirempuh kenderaan pacuan empat roda.
REMPUH: Keadaan bahagian hadapan bas ekspres yang dirempuh kenderaan pacuan empat roda.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian dada.

“Pemandu bas berumur 29 tahun hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian lutut manakala 41 lagi penumpang berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambahnya, mangsa maut dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement