Anda di sini

Komuniti Cina sentiasa dapat sokongan penuh kerajaan negeri

Advertisement
 Junz (empat kanan) mewakili kerajaan negeri menyerahkan cek replika bernilai RM50,000 kepada Susan (lima kiri).
SERAH: Junz (empat kanan) mewakili kerajaan negeri menyerahkan cek replika bernilai RM50,000 kepada Susan (lima kiri).

KOTA KINABALU: Komuniti Cina di negeri ini tidak perlu bimbang kerana Kerajaan Sabah akan sentiasa menyokong kebudayaan dan pendidikan masyarakat itu di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Kerajaan Sabah pada hari ini akan terus menyalurkan peruntukan bagi membantu komuniti Cina untuk mengembangkan kebudayaan tradisional Cina seperti festival Mid-Autumn, Tahun Baharu Cina dan tarian singa.

"Festival seumpamanya dilangsungkan dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya, diraikan oleh semua rakyat tidak kira latar belakang masing-masing.

"Keharmonian perkauman yang dikecapi ini adalah nilai penting bagi memastikan eratnya integrasi dalam negara ini.

"Oleh itu, festival yang diadakan ini bukan sahaja perayaan oleh kebudayaan Cina tetapi juga sebagai platform memperkenalkan amalan saling faham-memahami dan toleransi dalam kalangan masyarakat," katanya ketika merasmikan Festival Gaya Street Mid-Autumn 2019, di sini kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong.

Shafie berkata, acara diadakan itu turut membolehkan para pelancong asing untuk menikmati kepelbagaian perayaan dan festival di Sabah.

Katanya, tradisi festival berkenaan adalah untuk keluarga komuniti Cina untuk duduk dan berkumpul bersama dalam institusi keluarga.

"Saya percaya tradisi festival ini bukan sahaja baik kepada komuniti Cina tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kerajaan Sabah menggesa agar semua komuniti di Sabah tanpa mengira bangsa dan agama untuk mengekalkan tradisi perjumpaan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Shafie turut memuji Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat Cina Kota Kinabalu (USCCAKK) Datuk Susan Wong dengan kejayaan menganjurkan pelbagai acara kebudayaan masyarakat Cina di sini.

Beliau berharap semua jawatankuasa dalam USCCAKK akan terus menganjurkan acara seumpamanya bukan sahaja untuk mempromosi kebudayaan Cina tetapi juga memperkenalkan industri pelancongan dalam bandaraya ini  memandangkan Kota Kinabalu kini adalah destinasi pelancongan terkenal di Asia.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong, Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Konsul General Republik China di Kota Kinabalu Liang Caide serta para tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement