Anda di sini

Pelaburan bantu perkasa agenda pembangunan Sabah

Advertisement
 Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) menjadi lambang usaha pembangunan di negeri ini.
PUSAT PENTADBIRAN: Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) menjadi lambang usaha pembangunan di negeri ini.

SELEPAS lebih 16 bulan tampuk pemerintahan kerajaan negeri beralih pimpinan, agenda pembangunan negeri Sabah secara berperingkat memperlihat perubahan.

Langkah berkenaan seiring dengan kehendak pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Pelbagai usaha dan inisiatif dirancang dan dilaksanakan bagi mencapai sasaran dan matlamat pentadbiran kerajaan.

Ia bagi memastikan setiap peranan yang dimainkan perkhidmatan awam dan janji pembangunan dapat disampaikan kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Salah satu usaha yang diperkasakan kerajaan dalam membentuk perancangan pembangunan lestari adalah dengan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

Pelaburan syarikat luar khususnya dari negara-negara yang memiliki potensi pelaburan tinggi seperti China, Korea mahupun Jepun dilihat mampu membantu Sabah dalam meningkatkan usaha pembangunan lestari.

 Kerajaan negeri mahu usaha pembangunan di negeri ini dapat dinikmati rakyat dari pelbagai peringkat termasuklah generasi muda.
DEMI RAKYAT: Kerajaan negeri mahu usaha pembangunan di negeri ini dapat dinikmati rakyat dari pelbagai peringkat termasuklah generasi muda.

Seiring dengan usaha itu juga, Shafie mahu lebih banyak syarikat berdaftar dengan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) melabur dalam sektor pembangunan di negeri ini.

Beberapa syarikat tempatan yang mempunyai potensi, kekuatan serta pengalaman luas turut dikenal pasti dalam mencapai hasrat berkenaan.

Menurutnya, dalam menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah khususnya daripada syarikat tempatan, kerajaan negeri perlu menjelaskan hala tuju dan tumpuan sektor pembangunan di Sabah kepada syarikat yang terlibat.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga giat dalam memperkasa usaha untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

"Salah satu bukti, kerajaan negeri kini dalam pentadbiran yang betul apabila Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu dipilih sebagai Pelabuhan Tender untuk Minyak Sawit Mentah (MSM).

"Saya gembira kerana penilaian Asia Pacific Exchange Pte Ltd (Apex) memilih Lahad Datu berdasarkan potensinya sebagai Pelabuhan Tender Ketiga untuk MSM.

"POIC Lahad Datu memainkan peranan penting ketika ini dalam menyokong usaha berterusan kerajaan negeri untuk membangunkan industri minyak sawit selain memudahkan pembangunan di pantai timur Sabah," katanya.

 POIC Lahad Datu antara landasan Sabah untuk mencapai destinasi pelaburan yang menarik.
PENGIKTIRAFAN: POIC Lahad Datu antara landasan Sabah untuk mencapai destinasi pelaburan yang menarik.

Selain itu, kesediaan syarikat-syarikat besar untuk melabur di Sabah juga menunjukkan kerajaan negeri sentiasa mendapat sokongan dan kerjasama erat dengan pelbagai sektor termasuklah swasta.

Di bawah Strategi Perbelanjaan Pembangunan 2020, beberapa objektif diberi tumpuan untuk pencapaian agenda pembangunan kerajaan negeri.

Ia termasuklah menangani ketidakseimbangan tahap sosioekonomi ke arah memperkukuhkan pembangunan inklusif serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan negeri juga mahu meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi negeri melalui pengagihan sumber-sumber negeri secara optimum.

Antara sektor pertumbuhan yang berpotensi dalam pengagihan sumber negeri termasuklah sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan.

Pembangunan modal insan turut dimantapkan melalui peningkatan produktiviti, pengetahuan dan inovasi serta menekankan pembangunan secara lestari.

Selain itu, tumpuan turut diberikan dalam meningkatkan pencapaian prestasi pelaksanaan program-program pembangunan.

 Shafie yakin usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah mampu memperkasakan agenda pembangunan negeri ini.
PELABUR: Shafie yakin usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah mampu memperkasakan agenda pembangunan negeri ini.
  • oleh
  • Advertisement