Anda di sini

Hari Malaysia kukuhkan perpaduan

Advertisement
 Sambutan Hari Malaysia 2018 yang disambut meriah. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan
SEPAKAT MEMBAWA BERKAT: Sambutan Hari Malaysia 2018 yang disambut meriah. - Gambar ihsan Jabatan Penerangan

PERPADUAN terhasil apabila rakyat pelbagai etnik dan agama saling menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati dengan menyedari sensitiviti agama dan budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum.

Sempena sambutan Hari Malaysia 16 September 2019, Utusan Borneo menemu bual beberapa individu mengenai tahap perpaduan, kegembiraan bernaung di bawah kerajaan Malaysia dan signifikan sambutan perayaan ini.

MOHAMAD
MOHAMAD

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Idahan Pewaris Madai (PEWARIS) Mohamad Serangit berkata, sentimen perkauman dan agama mutakhir ini dijadikan alat serangan politik pihak tertentu secara terbuka amat menyedihkan.

"Kita perlu sentiasa sedar dan berupaya mengadaptasi pengajaran dari peristiwa sejarah lalu sebagai panduan kerana jatuh bangunnya sebuah bangsa terletak antaranya pada kebijaksanaan rakyatnya memperteguhkan perpaduan.

"Tidak kira apa pergolakan yang berlalu di sekeliling kita, kita perlu kembali pada penghayatan sebab dan akibat pelbagai rentetan peristiwa sejarah lalu yang sewajarnya menjadi panduan kita di Malaysia," katanya.

Menurut Mohamad, ledakan teknologi 4.0 telah menjadikan pelbagai maklumat begitu mudah diakses oleh umum dan setiap anggota masyarakat khususnya pengguna medium media sosial terutamanya perlu mengawal diri dari terjebak menjadi 'batu api' juga bara dalam sekam ke atas sesuatu isu yang akhirnya mengakibatkan kemudaratan negara.

"Kita sedang melalui satu fasa baru di bawah kerajaan Malaysia yang baharu.

"Rakyat negara ini seharusnya menyokong serta membantu usaha kerajaan yang sedang bergelut memulihkan prestasi ekonomi demi kesejahteraan semua.

"Tarikh 16 September adalah hari ulang tahun pembentukan Malaysia justeru dalam keghairahan kita menuntut janji untuk Persekutuan merealisasikan sepenuhnya MA63, kita juga perlu berhemah dan menjaga sensitiviti agar tidak terlalu menyinggung pihak lain," katanya.

Bak pepatah, 'bulat air kerana pembentung, bulat rakyat kerana muafakat', apabila sepakat kita akan menjadi lebih kuat.

ISNAIN
ISNAIN

Menurut pendidik Isnain Rabaha, 39, tahap perpaduan di negara ini masih di tahap sangat baik terutama di Sabah kerana masih boleh melakukan aktiviti harian tanpa ada rusuhan, pergaduhan ataupun tindakan ekstrem.

Katanya, berbanding negara lain meskipun merdeka ada antaranya hancur kerana rosaknya perpaduan, berpecah berpuak-puak hanya kerana menjadikan perbezaan mereka sebagai penghalang.

"Kita di sini masih dapat melakukan amal ibadat agama masing-masing, menghadiri perhimpunan aman, berkumpul menjayakan pelbagai program bersama-sama dengan kaum lain dan bagi saya itulah nikmat perpaduan kita.

"Sebagai rakyat, saya berbesar hati dan berbangga Malaysia dapat meneruskan kemakmuran, perpaduan, banyak ruang dan peluang dibuka kepada rakyat Malaysia untuk terus maju mencapai apa yang diinginkan," katanya.

Menurutnya, Hari Malaysia 16 September signifikan disambut dan diraikan dengan meriahnya untuk terus menyemai jiwa patriotik rakyat bukan sahaja untuk pembangunan diri tapi yang lebih besar untuk memperjuang letaknya Malaysia di masa akan datang.

"Tarikh 31 Ogos disambut sebagai Hari Kebangsaan dan 16 September sebagai Hari Malaysia dan sebagai rakyat Malaysia, rentetan sejarah yang berlaku ketika menuju negara yang bebas dari penjajahan perlu diterapkan dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk penyampaian bermula dari rumah sehinggalah pengertiannya dijiwai membentuk jati diri rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, di bawah pemerintahan kerajaan Malaysia pelbagai manfaat mula dinikmati khususnya tumpuan pada pendidikan kerana untuk membina rakyat yang maju aspek pendidikan menjadi keutamaan.

"Antara yang terbaharu, inisiatif penyediaan sarapan pagi bagi pelajar yang akan memberi impak pada tahap kemajuan pembelajaran dalam kelas terutama pelajar di luar bandar yang terkesan tidak bersarapan kerana pelbagai faktor kekangan," katanya.

AINUL
AINUL

Menurut Ainul Durmahyanty Durming, 27, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, adalah menjadi kewajiban kita mempertahankan keamanan dan keharmonian dengan menahan diri daripada melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

"Bagi saya, tahap perpaduan sekarang dalam negara kita dalam keadaan baik yang dapat dilihat dalam aktiviti harian sekeliling yang masih berjalan dengan baik, pematuhan undang-undang, aktiviti ekonomi yang lancar dan yang lebih utama masing-masing saling menghormati perbezaan yang ada," katanya.

Ainul berkata, meraikan Hari Malaysia 16 September ini untuk memperingati detik bersejarah penubuhan Malaysia seterusnya menepati konteks pembinaan negara bangsa yang menitikberatkan kepentingan peranan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

"Saya bertuah dan gembira menjadi rakyat Malaysia yang mengecapi kemerdekaan dalam erti kata sebenar dan berharap negara ini terus maju, aman, makmur.

"Perkara ini penting agar generasi akan datang terus merdeka meneruskan amanah perjuang-pejuang kemerdekaan negara mengikut acuan sendiri yang unik," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement