Anda di sini

Dua lelaki diburu dipercayai terlibat samun bersenjata di Kangkar Tebrau

Advertisement

JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata api sehingga mengakibatkan kematian seorang wanita warga emas di Jalan Tun Fatimah 2, Kangkar Tebrau, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata gerakan memburu kedua-dua suspek dilakukan selepas polis menerima laporan kejadian terbabit daripada orang awam pada jam 8.57 malam.

“Dalam kejadian ini, kedua-dua suspek cuba menyamun sebuah rumah didiami enam lelaki dengan melepaskan dua das tembakan di mana satu das tembakan terkena bahagian kaki kanan salah seorang penghuni rumah.

“Kedua-dua suspek gagal menyamun kerana penghuni rumah kemudian bertindak melawan suspek sebelum kedua-duanya melarikan diri dan melepaskan dua das lagi tembakan apabila melihat masih ada orang mengejar mereka,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mohd Kamarudin berkata tembakan keempat itu, bagaimanapun, dipercayai terkena bahagian kepala hadapan kanan seorang wanita berumur 78 tahun yang ketika itu sedang duduk di halaman rumahnya.

Beliau berkata kedua-dua suspek kemudian berjaya melarikan diri dengan menyamun sebuah motosikal jenis Honda EX5 daripada seorang lelaki lain selepas mengacukan pistol kepada lelaki tersebut.

Katanya wanita berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah, di sini, manakala penghuni rumah berusia 18 tahun yang ditembak di kaki kanannya itu turut dirawat di hospital sama.

“Polis, sehubungan itu, sedang giat mengenal pasti kedua-dua suspek terlibat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh serta Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, kes tersebut merupakan kes samun bersenjata api dan tidak melibatkan isu perkauman.

Orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan polis memohon mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan, katanya. — Bernama

Advertisement