Anda di sini

Wira Warisan bidas hasrat BERSATU Sabah letak calon pada PRK Parlimen Kimanis

Advertisement
ISMAIL
ISMAIL

KOTA KINABALU: Hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yang menyatakan hasrat untuk meletakkan calon mereka jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis diadakan disifatkan tidak wajar.

Wira Warisan Sabah membidas dan mempersoalkan kewajaran BERSATU Sabah yang kini dilihat mahu memungut hasil daripada perjuangan orang lain.

Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah Mohd Ismail Ayob berkata, selepas jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) bekerja keras di mahkamah, mengapakah tiba-tiba sahaja pemimpin BERSATU Sabah tampil untuk menyatakan hasrat bertanding di Parlimen Kimanis.

"Pemimpin BERSATU Sabah juga perlu sedar diri bahawa mereka adalah bekas pemimpin UMNO yang menjadi lawan Warisan di Parlimen Kimanis dalam pilihan raya umum lalu.

"BERSATU Sabah sepatutnya menunjukkan keikhlasan mereka dengan memberikan sokongan penuh kepada calon Warisan yang akan bertanding di Kimanis kelak sebagai bukti kehadiran mereka di Sabah adalah untuk membantu kerajaan yang ditunjangi Warisan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini, Ketua Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, parti itu mempunyai beberapa calon yang layak untuk bertanding bagi memastikan kerusi itu milik Pakatan Harapan (PH).

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas calon UMNO, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis selepas disahkan wujud perlanggaran undang-undang pilihan raya.

Keputusan itu susulan petisyen dikemukakan calon Warisan di kerusi itu, Datuk Karim Bujang bagi mencabar kemenangan Anifah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Anifah yang merupakan penyandang kerusi itu menang dengan majoriti 156 undi selepas memperoleh 11,942 undi manakala Karim sebanyak 11,786 undi.

Ismail berkata, Karim adalah calon terbaik Warisan untuk bertanding di kerusi itu, bukan sahaja kerana sokongan padu yang diterima tetapi juga atas usaha beliau di mahkamah.

"Kerusi itu kosong kerana Datuk Karim yang membawa kes itu ke mahkamah setelah merasakan perjalanan pilihan raya yang lepas di Parlimen Kimanis dicemari dengan penipuan. 

"Datuk Karim telah berusaha mengemukakan bukti-bukti, melantik peguam, membuang banyak masa turun dan naik mahkamah untuk membuktikan bahawa terdapat penipuan dalam perjalanan pilihan raya lepas dan akhirnya segala usaha jentera guaman parti Warisan terbukti berhasil," katanya.

  • oleh
  • Advertisement