Anda di sini

Penganggur disyaki miliki dadah dicekup

Advertisement
 Dadah yang dirampas daripada suspek.
RAMPASAN: Dadah yang dirampas daripada suspek.

BAU: Seorang penganggur ditangkap selepas disyaki memiliki dadah semasa diperiksa dalam satu operasi di Jalan Bau-Lundu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, lelaki berusia 23 tahun itu semasa ditahan memandu sebuah kereta sekitar jam 2.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan dadah jenis Ketamine dianggarkan seberati 17.70 gram bernilai sekitar RM2,000.

“Pemeriksaan terhadap suspek tiada menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek membawa kepada penemuan tiga peket plastik putih di atas lantai tempat duduk belakang sebelah kiri kereta tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas peket plastik tersebut mendapati peket pertama berisi 10 peket plastik biru setiap satu berisi ketulan kristal disyaki dadah Ketamine, peket kedua juga berisi peket plastik biru setiap satu berisi ketulan kristal disyaki dadah Ketamine dan peket ketiga berisi dua peket plastik biru setiap satu berisi ketulan kristal juga disyaki dadah Ketamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Suspek yang berasal dari Taman Siniawan di sini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi Seksyen 12(2), jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

“Manakala bagi Seksyen 15(1)(a), jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun Seksyen 38B ADB 1952,” jelasnya.

Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Advertisement