Anda di sini

PGA temukan kereta berisi rokok seludup tanpa pemandu

Advertisement
 PGA Tawau merampas 820 katon rokok pelbagai jenama yang disyaki rokok seludup.
RAMPASAN: PGA Tawau merampas 820 katon rokok pelbagai jenama yang disyaki rokok seludup.

KALABAKAN: Kompeni A Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau menemukan sebuah kereta berisi rokok seludup tanpa pemandu berhampiran Road Check Point (RCP), semalam.

Pemeriksaan mendapati kereta terbabit mengandungi rokok Premiro (300 katon), Djarum Black (200), Surya Menthol (80), Fit Wild (240) yang dianggarkan bernilai RM64,000.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Supt Mustapha Othman berkata, tindakan itu dijalankan pasukannya kira-kira jam 3 pagi selepas menerima maklumat awam.

“Pasukan kita menjalankan tinjauan dan pemerhatian di simpang jalan tidak berturap berhampiran Bulatan Kalabakan dan menemukan sebuah kereta jenis Proton Perdana.

“Kereta berwarna putih berkenaan ditemukan diparkir di bahu jalan dalam keadaan pintu bahagian pemandunya terbuka," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mustapha berkata, pihaknya mengesyaki kereta terbabit ditinggalkan oleh pemandunya dan pemeriksaan mendapati terdapat longgokan kotak berbalut plastik hitam di dalam kereta itu.

Katanya, hasil pemeriksaan yang diadakan juga mendapati longgokan kotak juga diletakkan hingga ke bonet kereta dan disyaki berisi rokok seludup.

Dalam kes berasingan, PGA Tawau turut menangkap lima lelaki berumur 26 hingga 41 tahun di Simpang Empat Batu 10 Kalabakan serta turut menahan tiga motosikal.

“Kesemua lelaki terbabit diberkas semasa menaiki motosikal dan salah seorang yang dipanggil dengan nama ‘Botak’ dikesan memiliki sebutir peluru hidup,” katanya.

Menurutnya, suspek juga memiliki satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu, sebelum soal siasat dijalankan terhadap lelaki terbabit.

Beliau berkata, suspek membawa tim Strike Force RCP Kalabakan ke lokasi senapang patah buatan sendiri (bakakuk) disembunyikannya di kawasan ladang sawit.

“Penahanan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 (memiliki senjata api tanpa permit) dan Seksyen 12 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (memiliki dadah),” katanya.

  • oleh
  • Advertisement