Anda di sini

Mayat salah seorang pemancing ditemukan 

Advertisement
 Mayat salah seorang mangsa yang ditemukan di Sungai Labik Sarawak dibawa oleh pasukan SAR untuk dihantar ke Hospital Lawas.
JUMPA: Mayat salah seorang mangsa yang ditemukan di Sungai Labik Sarawak dibawa oleh pasukan SAR untuk dihantar ke Hospital Lawas.

 

LABUAN: Mayat salah seorang daripada tiga sahabat yang dikhuatiri hilang semasa memancing di perairan Lawas kelmarin ditemukan awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, mayat Yee Chon Tiong, 30, berjaya ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terdampar di atas batu di perairan Sungai Labik Sarawak, kira-kira jam 8.35 pagi.

“Mayat mangsa dikenal pasti oleh anggota keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Lawas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, tiga sahabat dilaporkan hilang semasa memancing di perairan Lawas awal pagi kelmarin.

Che Adnan berkata, kejadian dimaklumkan oleh isteri salah seorang mangsa mengatakan suaminya Faruk Arina Ahmad Sabri, 29, keluar ke laut untuk memancing di sekitar Pulau Sari.

“Faruk bersama dua lagi rakannya iaitu Mohd Amirul Bakar, 26 dan Yee yang keluar dari rumah pada jam 5 pagi kelmarin menaiki bot fiber sepatutnya dijadualkan balik pada jam 6 petang hari sama.

“Kesemua mangsa bagaimanapun gagal dihubungi menyebabkan isteri mangsa membuat laporan kecemasan berkenaan kejadian,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula diaktifkan pada jam 12.20 tengah malam kelmarin dan pencarian dimulakan awal pagi semalam.

“Kita juga sudah memaklumkan kejadian kepada pihak Polis Marin Diraja Brunei bagi bantuan untuk operasi SAR.

 Tiga sahabat dikhuatiri hilang semasa memancing di perairan Lawas.
PEMANCING: Tiga sahabat dikhuatiri hilang semasa memancing di perairan Lawas.

“Operasi turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam,” katanya.

Beliau juga menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan khususnya pemancing bot kecil serta bot nelayan lain.

  • oleh
  • Advertisement