Anda di sini

Karnival Gegar V4.0 kembali gegarkan Padang Bandaran Keningau esok

Advertisement
 Suasana Gegar Keningau tahun lalu.
MERIAH: Suasana Gegar Keningau tahun lalu.

SEKALI lagi Padang Bandaran Keningau bakal bergegar dengan pelbagai program pada 12-16 September ini sempena Karnival Gegar Keningau V4.0 kali ke-4.

Pengarah program Rafie Robert berkata, karnival anjuran Kelab Belia Keningau itu turut mendapat dukungan Pejabat Daerah, Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS), Majlis Daerah, North Borneo Empire dan Training Academy.

“Program ini merupakan anjuran tahunan bersempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Keningau yang diadakan berkonsep karnival,” katanya kepada media kelmarin.

Menurut beliau, majlis perasmian akan diadakan pada 12 September bermula 7 malam yang akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony.

Kalangan artis popular bakal menggegarkan pentas padang bandaran melibatkan Ismail Izanni, Hosiani Keewon, Aprillisa Sue Ann, Jess Joel Moriga, Santiana Ramli serta Sumarli dan Gaman.

Demi mendukung program mega ini, sebanyak 32 jabatan dan agensi kerajaan membuka gerai masing-masing bagi menyalurkan perkhidmatan kepada orang ramai sementara hampir 100 usahawan tempatan turut mempromosi dan menjual produk mereka bagi meningkatkan jualan.

Pelbagai program lain turut disusun untuk memberi penglibatan kepada semua peringkat umur seperti Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Pertandingan Nyanyian Kanak-Kanak, Pertandingan Beyblade Kanak-Kanak dan Pertandingan Pidato.

Turut diadakan ialah Pertandingan Modern Dance, Pertandingan Kugiran, Pertandingan Orang Kuat, Pertandingan Gusti Lengan, Pertandingan Badan Cantik dan Pertandingan Tarian Etnik Kreatif.

Persembahan kesenian lain turut diadakan seperti Persembahan Buskers, Fitness Fiesta, Persembahan Band Mobs, Kayuhan Hari Malaysia, Auto-Show dan Konsert Gegar Keningau.

Konsert Gegar Keningau V4.0 bakal menampilkan artis-artis tempatan seperti K-Clique, Benzooloo, Atmosfera, Zackiddin, Chychy & Ryna ft. Bluemoon Band, Max White ft. NBE Band, Suistereo serta Emcee Lotter, Aegy dan Bob.

Rafie menjelaskan keseluruhan tenaga penganjur program dikendalikan kalangan belia setempat bagi membuka ruang kepada mereka mencurahkan idea dan pandangan dalam melaksanakan program yang dirancang.

Beliau menjemput orang ramai hadir memeriahkan Karnival Gegar Keningau V4.0 itu bagi merealisasikan sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Daerah Keningau.

  • oleh
  • Advertisement