Anda di sini

BERSATU berhasrat letak calon jika berlaku PRK Kimanis

Advertisement
 Hajiji dan sebahagian tetamu merakamkan gambar kenangan.
ALBUM: Hajiji dan sebahagian tetamu merakamkan gambar kenangan.

MEMBAKUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah berhasrat mengemukakan senarai calon kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) jika berlaku pilihan raya kecil (PRK) di Parlimen Kimanis.

Ketua Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor berkata, terdapat beberapa calon layak untuk diketengahkan sebagai calon BERSATU yang dilihat mampu memastikan kerusi itu milik PH.

"Bagaimanapun, kita menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PH membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon BERSATU atau tidak sekiranya PRK Kimanis diadakan.

"Apa pun keputusannya, kita terima dan pada masa sama kita (BERSATU) akan menyokong siapa saja calon yang terpilih dari parti komponen atau pun rakan PH bagi memastikan kerusi Kimanis milik PH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Jelajah Pimpinan BERSATU Sabah ke BERSATU Bahagian Kimanis di Dewan Kampung Pimping, di sini.

Hadir sama, Timbalan Penyelaras BERSATU Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Pengarah Strategik dan Pilihanraya BERSATU Sabah Datuk Lajim Ukin, Ketua Bahagian BERSATU Kimanis Datuk Ariffin Arif dan Ketua Srikandi BERSATU Sabah Datuk Azizah Mohd Dun.

Sementara itu, Lajim ketika ditemui berkata, keputusan mengemukakan calon untuk PRK Kimanis adalah kehendak akar umbi walaupun sebelum ini BERSATU Sabah memberi jaminan tidak akan menuntut kerusi itu.

Menurutnya, tindakan tidak menuntut kerusi berkenaan sebenarnya tidak mewakili keputusan seluruh kepimpinan tertinggi BERSATU Malaysia sebaliknya cuma pandangan pihak parti itu di Sabah.

"Itu cuma pandangan (tidak tuntut kerusi Kimanis) kita sebagai ahli peringkat bawahan saja... kalau kepimpinan atas mahukan kita bertanding dan mahu hantar senarai calon, kita ikut saja.

"Kita tidak boleh bertelagah sesama sendiri khususnya PH dan Warisan kerana Warisan adalah rakan PH yang turut menyumbang kepada pembentukan kerajaan dengan lapan kerusi Parlimen dan itu perlu diambil kira.

"Kita juga harus ambil kira banyak perkara berdasarkan senario politik ketika ini yang perlu diperhalusi jika BERSATU berhasrat mengambil bahagian dalam PRK Kimanis," katanya.

Dalam pada itu, Lajim memaklumkan pihaknya akan membuat lawatan ke seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk bertemu cawangan dan jentera sayap-sayap BERSATU di Parlimen Kimanis dalam masa terdekat.

Beliau berkata, usaha itu bagi mengenal pasti peluang dan mendapatkan maklum balas mengenai sokongan terhadap calon BERSATU jika diberi ruang bertanding pada PRK Kimanis.

"Pada masa sama, kita juga membuat persediaan bagi membantu calon parti lain dalam PH untuk memastikan kerusi Kimanis menjadi milik PH," katanya.

  • oleh
  • Advertisement