Anda di sini

Sembilan gelen petrol ditanam di pantai dirampas

Advertisement
 Kawasan penemuan gelen yang ditanam.
DITANAM: Kawasan penemuan gelen yang ditanam.

LAHAD DATU: Sembilan gelen berisi petrol ditemukan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu ditanam dalam pasir pesisir pantai di Kampung Sibahat, Felda Sahabat, Tungku, dekat sini kelmarin.

Taktik licik penyeludup barang bersubsidi yang terbongkar kali ini melibatkan tujuh gelen berwarna hijau, satu warna putih dan satu cerah.

Kelmarin, taktik yang sama terbongkar di kawasan pesisir Pantai Kampung Sinakut Felda Sahabat melibatkan rampasan 12 gelen petrol dengan anggaran nilai RM583.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pasukan yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan pesisir pantai menyiasat lokasi mencurigakan hasil maklumat Unit Risikan Marin.

"Hasil siasatan, sembilan gelen berisi cecair minyak petrol ditemukan yang disyaki akan diseludup ke negara jiran," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

 Sembilan gelen pelbagai warna yang ditemukan di kawasan yang digali.
PETROL: Sembilan gelen pelbagai warna yang ditemukan di kawasan yang digali.

Menurutnya, kesemua barang rampasan dianggarkan RM437.40 itu telah dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.

  • oleh
  • Advertisement