Anda di sini

Wanita basuh kain maut dibaham buaya

Advertisement
 Nur Fatimah ditemui maut terapung di tebing sungai oleh orang awam kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
MAUT: Nur Fatimah ditemui maut terapung di tebing sungai oleh orang awam kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

KALABAKAN: Seorang wanita ditemui maut di Kg Sg Tuda di sini, kira-kira jam 3.25 petang, semalam, disyaki akibat dibaham buaya semasa membasuh pakaian di tepi sungai.

 Utusan Borneo difahamkan, mayat wanita itu, Nur Fatimah Saleh, 33, ditemukan oleh orang awam semasa gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan di lokasi kejadian.

Mayat wanita terbabit dikatakan ditemukan terapung di tebing sungai yang sama, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa mula-mula dilaporkan hilang dan disambar oleh buaya.

Menurut maklumat awal saksi kejadian (rakan mangsa), mereka membasuh pakaian di tepi sungai sebelum dikejutkan dengan kehadiran buaya kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata, aduan mengenai kejadian orang dibaham buaya di kawasan itu diterima pada jam 11.10 pagi, dari Balai Polis Kalabakan.

“Kita turut menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah untuk mendapatkan bantuan, serta mengarahkan anggota Balai Polis Kalabakan ke lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, Peter berkata, mayat mangsa yang berjaya ditemui dalam keadaan sempurna di sungai itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan susulan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Sharudy Delamin berkata, operasi SAR di lokasi kejadian ditamatkan pada jam 3.54 petang selepas mayat berjaya ditemui.

 RAKAN mangsa menunjukkan lokasi yang dikatakan tempat Nur Fatimah disambar buaya semasa membasuh pakaian.
LOKASI: RAKAN mangsa menunjukkan lokasi yang dikatakan tempat Nur Fatimah disambar buaya semasa membasuh pakaian.

“Operasi SAR oleh pihak bomba diketuai PBKII Kasdi Latimin bersama empat anggota dan dijalankan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang menggunakan bot penyelamat.

“Sebuah bot bomba dan dua bot penduduk kampung digunakan, serta dibantu polis (tujuh orang), Pasukan Bomba Sukarela Kalabakan (12) dan orang kampung,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, selain polis, bomba dan penduduk kampung yang terlibat dalam SAR, turut membantu 12 anggota Pasukan Bomba Sukarela Kalabakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Hidupan Liar Tawau Sailun Haris berkata, pihaknya akan memasang perangkap untuk menangkap buaya yang menyerang mangsa.

“Kita akan cuba menembak mati buaya yang dipercayai menyerang mangsa terlibat sekiranya dijumpai atau kelihatan timbul di sekitar lokasi kejadian,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement