Anda di sini

Nurminah berhasrat sambung pelajaran semula

Advertisement
 Nurminah bersama ibunya ditemui selapas bebas daripada tuduhan memiliki dadah.
BEBAS : Nurminah bersama ibunya ditemui selapas bebas daripada tuduhan memiliki dadah.

TAWAU : "Saya mahu menyambung pelajaran di kolej tempat belajar dahulu," begitulah hasrat Nurminah, 24, selepas bebas daripada hukuman gantung sampai mati atas  tuduhan memiliki dadah jenis syabu tiga tahun lalu.

Anak ke-8 daripada sembilan adik beradik ini merupakan pelajar tahun akhir dan berhasrat mahu menghabiskan pelajaran dalam bidang kemahiran di kolej lamanya di
Kota Kinabalu.

"Saya berharap kolej dapat menerima dan memberi peluang untuk saya menyambung pelajaran yang telah tertinggal selama ini," katanya.

Nurminah yang bercita-cita untuk menjadi pegawai Imigresen sangat berterima kasih  kepada semua keluarga yang tidak berhenti membantu dan memberikan sokongan moral  kepadanya selama berada dalam tahanan.

"Tidak lupa juga saya sangat bersyukur dapat pasukan peguam yang banyak membantu menyelesaikan kes yang saya hadapi ini sehingga berjaya menyakinkan hakim kami tidak bersalah," katanya lagi.

 Beliau berpesan kepada semua masyarakat di luar supaya tidak mudah percayakan  orang dan mengambil pengajaran dari apa yang mereka hadapi ini.

Ibunya, Nursahabah Salman, 62, sangat bersyukur dan gembira kerana penantiannya  selama tiga tahun membuahkan hasil dengan pembebasan anaknya daripada pertuduhan  memiliki dadah.

"Saya mengadakan doa selamat dan berdoa supaya keputusan mahkamah hari ini memihak kepada anak kami," katanya.

Perasaan sebak menyelubungi keluarga di luar mahkamah selepas Nursahabah  menceritakan suaminya meninggal dunia setahun selepas anaknya ditangkap.

"Anak saya tidak sempat melihat bapanya dikebumikan dan ada yang beranggapan suami saya sakit kerana banyak memikirkan anaknya yang ditahan," jelasnya.

Keputusan ini juga membuktikan bahawa anak kami tidak bersalah dan boleh menutup  mulut masyarakat yang beranggapan anak kami mengedar dadah.

"Selama ini kami bersabar dengan kata-kata liar masyarakat yang menuduh anak kami terlibat dengan pengedaran dadah," katanya.

Terdahulu, Nurminah dituduh memiliki dadah bersama kakak iparnya  selepas ditangkap  bersama sebuah beg plastik yang berisi 738.8 jenis syabu.

Pada waktu itu, beliau sedang bercuti di daerah ini selepas Saramah Sabirin menyuruhnya memegang plastik hitam berisi sayur dan tanpa mengetahui di dalamnya  ada barang kes.

Kejadian yang berlaku di belakang Pasar Tanjung itu, merupakan detik hitam Nurminah bersama kakak iparnya selepas ditangkap dan dituduh memiliki dadah sehingga
membawa perbicaraan kes selama tiga tahun.

  • oleh
  • Advertisement