Anda di sini

Masyarakat Dusun Tompizos disaran beri tumpuan bidang pendidikan, ekonomi

Advertisement
 Edwin (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian ahli dan komuniti masyarakat Dusun Tompizos selepas Pelancaran Suku Dusun Tompizos Sabah cawangan Kampung Wolit Tanah.
LBUM: Edwin (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian ahli dan komuniti masyarakat Dusun Tompizos selepas Pelancaran Suku Dusun Tompizos Sabah cawangan Kampung Wolit Tanah.

SANDAKAN: Masyarakat etnik Dusun Tompizos di Sabah digesa agar memberi tumpuan terhadap bidang pendidikan dan ekonomi generasi muda bagi memastikan etnik itu setaraf dengan bangsa lain.

Presiden Persatuan Suku Dusun Tompizos Sabah (PSDTS), Profesor Madya Edwin Laimin berkata, suku Dusun Tompizos masih kurang dikenali berbanding etnik lain di negeri ini dan ia menjadi cabaran kepada masyarakat etnik itu.

Katanya, usul kerajaan termasuk membuat pindaan undang-undang ke atas status anak negeri juga dikhuatiri akan memberi cabaran terhadap etnik lain termasuk Dusun Tompizos kerana menyebabkan lebih banyak persaingan khususnya dalam bidang ekonomi.

"Sehubungan itu, masyarakat Dusun Tompizos perlu bersatu dan bekerjasama dalam satu pasukan bermula daripada sekarang untuk memastikan generasi muda dididik dan memiliki kemahiran agar etnik ini tidak terus ketinggalan.

"Kita perlu elak anak-anak muda terbabit dalam gejala sosial termasuk dadah dan berhijrah ke luar negara untuk mencari pekerjaan, sebaliknya rebut peluang pekerjaan dan ekonomi yang ada di negeri ini dan bantu memajukan masyarakat etnik Dusun Tompizos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Suku Dusun Tompizos Sabah cawangan Kampung Wolit Tanah di Tongod.

Turut hadir ialah Ketua Cawangan PSDTS Kampung Wolit Tanah, Syverinus Ronnie Sidom.

Suku Tompizos adalah antara etnik Dusun yang mendiami sekitar Keningau dan Tongod dengan anggaran kepadatan suku semasa antara 10,000 hingga 15,000 di Sabah.

Cawangan Kampung Wolit Tanah adalah cawangan ke-22 ditubuhkan di Sabah dengan PSDTS yang disertai kira-kira 15,000 ahli berdaftar wujud sejak dua tahun lalu.

Mengenai persatuan itu, Edwin berkata, selain untuk memelihara adat istiadat dan bahasa suku itu, ia juga memainkan peranan membantu golongan masyarakat etnik itu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kemahiran.

Katanya, biarpun persatuan masih baharu, beberapa cawangan sudah ditubuhkan hasil perjuangan ahli persatuan.
 
"Penambahan cawangan ini membuktikan etnik Dusun Tompizos mula bergerak dari satu tahap ke tahap lebih tinggi dan ia harus dimanfaatkan demi kebaikan seluruh masyarakat kita," katanya.

  • oleh
  • Advertisement