Anda di sini

Jadual ketat Ketua Menteri di Kemabong hari ini

Advertisement
 Jamawi menyampaikan jemputan kepada Shafie dalam sidang DUN baru-baru ini.
SERAH JEMPUTAN: Jamawi menyampaikan jemputan kepada Shafie dalam sidang DUN baru-baru ini.

KEMABONG : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempunyai jadual yang ketat sempena lawatan kerja sehari beliau ke daerah kecil Kemabong Sabtu ini (hari ini)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar berkata, Shafie akan bersama rakyat dalam satu program Ilau Rakyat di Dataran Kemabong bermula jam 7.00 pagi.

Menurut Jamawi, majlis akan dimulakan dengan program Ketua Menteri beramah mesra bersama rakyat di dataran Kemabong bermula jam 10.00 pagi kemudian acara pecah tanah Pembinaan Rumah Kedai dan Kiosk Awam LPPB di tempat yang sama.

Jelas beliau, projek itu akan menempatkan sebanyak 41 buah unit kedai fasa 1 dan 12 unit kiosk awam.

"Perlaksanaan projek ini akan merubah landskap pembangunan daerah kecil Kemabong dan apabila siap sepenuhnya, ianya akan meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat khususnya di daerah ini" katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Jamawi, Shafie yang juga Menteri Kewangan akan turut beramah mesra bersama secara santai dengan ahli-ahli dan peminat sukan lasak Motorcross MX/Enduro yang datang daripada seluruh pelusuk Sabah di Litar Motorcross MX Kemabong.

"Sempena program Ilau Rakyat ini, pertandingan motorcross yang disertai oleh peserta tempatan dan luar negeri juga akan diadakan di litar MX Kemabong yang terkenal di kalangan peminat sukan lasak motorcross tanah air," katanya.

Selain itu pelbagai acara sukan dilaksanakan seperti tarik tali, bola tampar wanita, futsal, sukan rakyat dan rakit berhias. Acara Ratu Ilau 2019 juga diadakan pada sebelah petangnya.

Menurut Jamawi lagi, pada sebelah malam bertempat di Dataran Kemabong para peserta Kemabong Idol juga akan menghiburkan orang ramai yang hadir ke majlis ini.

Sehubungan dengan itu Jamawi turut menjemput warga Kemabong dan sekitarnya hadir menyambut ketibaan Ketua Menteri bersama rombongan selain berhibur dan menyaksikan pelbagai persembahan dan pertandingan yang diadakan sempena program ini.

  • oleh
  • Advertisement