Anda di sini

Penjaja makanan dituduh edar dadah terlepas hukuman gantung

Advertisement
 Sie Kiat (dua kanan) bersama peguamnya Camilus Lau (kanan) dan Norman Liew (dua kiri) serta Hazel Lai.
LEGA: Sie Kiat (dua kanan) bersama peguamnya Camilus Lau (kanan) dan Norman Liew (dua kiri) serta Hazel Lai.

KUCHING: Seorang penjaja makanan ternyata lega dan gembira apabila terlepas hukuman gantung sampai mati setelah dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas dua pertuduhan mengedar dadah pada Jun tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lee Heng Cheong membuat keputusan itu berikutan tiada bukti kukuh dapat mengaitkan Goh Sie Kiat, 27, dengan dadah tersebut.  

Sie Kiat berhadapan dua pertuduhan mengedar dua dadah berbeza berjumlah 866.33 gram.

“Selepas mendengar penghujahan defendan, mengambil kira testimoni dan menilai bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, mahkamah mendapati tiada elemen atau bukti kukuh yang dapat mengaitkan tertuduh dengan dadah terbabit.

“Justeru, mahkamah membebas dan melepaskan tertuduh daripada kesemua pertuduhan,” ujar hakim ketika memberikan keputusannya terhadap kes itu.

Dalam hal ini, mahkamah menerima penghujahan defendan iaitu dadah berkenaan dijumpai dalam pangsapuri, bukannya pada badan atau dalam kereta Sie Kiat.

Pangsapuri berkenaan pula bukan pangsapuri milik Sie Kiat tetapi milik kenalannya, Anthony Darwin Thong Tung Shin.

Anthony merupakan penyewa pangsapuri itu, justeru dia mempunyai akses ke unit berkenaan tanpa had.

Perkara ini disahkan lagi oleh saksi keempat iaitu pemilik pangsapuri yang mengatakan bahawa kunci dan kad akses diserahkan sepenuhnya kepada Anthony ketika dia bersetuju Anthony menyewa unit miliknya dahulu.

Hal ini secara tidak langsung menyangkal kredibiliti satu daripada bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan iaitu kunci dan kad akses ke blok pangsapuri yang dirampas daripada Sie Kiat ketika tangkapan dibuat.

Mahkamah juga menerima penghujahan peguam bela iaitu terdapat kemungkinan wujud satu lagi set kunci dan kad akses berlainan kerana pemilik pangsapuri itu tidak mengecam kunci dan kad akses yang dirampas polis.

Sementara itu, menurut seorang daripada peguam yang mewakili Sie Kiat, anak guamnya langsung tidak tahu mengenai kewujudan dadah yang ditemui.

“Tiada bukti kukuh menunjukkan anak guam saya mempunyai akses kepada pangsapuri itu apatah lagi bukti dia tinggal atau menyewa pangsapuri itu.

“Dia hanya kebetulan berada di tempat kejadian bersama kunci dan akses kad pada hari kejadian. Malah, pemilik pangsapuri itu sendiri tidak pernah melihat dia di kawasan unit perumahan itu,” ujar Camilus Lau Sii Fang kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Sie Kiat didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa mengedar 371.23 gram Methamphetamine dan 495.10 gram dadah jenis Methylenedioxy Methamphetamine pada 21 Jun 2018.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.30 pagi di sebuah pangsapuri di MJC, Batu Kawa.

Menurut fakta kes, semasa serbuan dibuat, polis merampas kira-kira 4,980 biji pil psikotropik (Methylenedioxy Methamphetamine) bernilai RM392,250.

Polis turut merampas beberapa bahan kes seperti sebuah kereta, tiga bentuk cincin emas dan sepasang anting-anting dan wang tunai bernilai RM4,730.

Perbicaraan kes terdahulunya menyaksikan pihak pendakwaan memanggil seramai sembilan saksi untuk memberikan keterangan.

Saksi-saksi terdiri daripada ahli kimia, pegawai penyiasat, juru foto dan lain-lain.

Peguam Norman Liew dan Camillus Lau Sii Fang mewakili tertuduh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid.

Advertisement