Anda di sini

Lelaki warga asing dipenjara 12 bulan, simpan dua telefon bimbit curi

Advertisement

SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua kesalahan menyimpan harta curi.

Majistret Suhailla Selag menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Emi @ Mohd Bin Lauril, 25, kerana menyimpan dua buah telefon bimbit yang dipercayai dicuri.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan kerana memiliki sebuah telefon bimbit curi berjenama Huawei, dan penjara enam bulan lagi kerana memiliki sebuah telefon bimbit curi berjenama Vivo.

Kedua-dua telefon bimbit itu yang disimpan di dalam bilik di sebuah rumah di Jambatan 4, Lorong 5, Kampung Tinusa 2, dipercayai hilang dicuri individu tidak diketahui pada 20 Ogos baru-baru ini.

Tertuduh kemudian ditangkap sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sandakan pada 22 Ogos, bersabit kes berkenaan.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh mengaku menyimpan dua buah telefon bimbit itu meskipun mengetahui ia adalah harta curi.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Tan Hiap Wah.

  • oleh
  • Advertisement