Anda di sini

Rakyat punya kewajipan jaga keharmonian kaum

Advertisement
 Susan (empat dari kiri) dan jawatankuasa USCCAKK menyampaikan jemputan rasmi kepada Frankie (enam dari kiri) ke Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh pada 15 September ini.
JEMPUTAN: Susan (empat dari kiri) dan jawatankuasa USCCAKK menyampaikan jemputan rasmi kepada Frankie (enam dari kiri) ke Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh pada 15 September ini.

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon telah dijemput ke Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh pada 15 September yang dianjurkan oleh Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah Kota Kinabalu (USCCAKK).

Presiden USCCAKK Datuk Susan Wong Siew Guen menyampaikan jemputan rasmi itu semasa mengetuai jawatankuasa persatuan itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Frankie, semalam.

Frankie berkata, rakyat Malaysia terutamanya rakyat Sabah mempunyai kewajipan untuk menjaga keharmonian kaum di negeri ini.

Katanya, rakyat Sabah mesti mengamalkan persefahaman dan toleransi bersama terhadap masyarakat dari budaya atau agama lain, serta mengelakkan diri daripada menghasut kebencian kaum atau agama yang boleh menghancurkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau membangkitkan keperluan mendesak untuk menaik taraf piawaian pembangunan dan penjagaan kesihatan, termasuk menangani kekurangan tempat letak kereta di hospital kerajaan di Sabah, kepada Kerajaan Persekutuan.

Frankie juga menggesa persatuan kemasyarakatan untuk menjangkau kumpulan yang kurang bernasib baik semasa Festival Pertengahan Musim Luruh.

Sementara itu, Susan mengucapkan terima kasih kepada Frankie di atas sokongannya terhadap aktiviti kebudayaan Cina.

Beliau berkata, Frankie adalah seorang menteri rajin yang benar-benar mengambil berat terhadap rakyat.

"Walaupun beliau adalah wakil rakyat Tanjung Papat, beliau sering dilihat menghadiri aktiviti budaya Cina di seluruh Sabah.

"Ini menunjukkan bahawa Datuk Frankie Poon bukan sahaja pemimpin yang melayani rakyat di Sandakan, tetapi seorang pemimpin yang menjaga rakyat di Sabah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement