Anda di sini

Qatar rasmikan logo Piala Dunia 2022 di seluruh dunia

Advertisement
 Logo rasmi Piala Dunia 2020 di Qatar dipaparkan di skrin gergasi di Time Square, New York kelmarin. — Gambar AFP
PELANCARAN RASMI: Logo rasmi Piala Dunia 2020 di Qatar dipaparkan di skrin gergasi di Time Square, New York kelmarin. — Gambar AFP

DOHA: Qatar merasmikan logo bagi Piala Dunia 2022 yang akan dianjurkan oleh emiriah Teluk itu, dan mempamerkannya di ruang awam di Doha dan bandar raya di seluruh dunia kelmarin.

Reka bentuknya adalah selendang uniseks Arab berwarna putih yang bergaya dengan corak warna merah tua, yang dipamerkan dalam angka lapan yang melambangkan infiniti sambil mewujudkan bentuk jantung di atas kata-kata “FIFA WORLD CUP Qatar 2022”.

Ia dipancarkan ke atas permukaan luas Arkib Negara di daerah Msheireb, ke selatan ibu negara, dalam suasana yang gilang-gemilang termasuk perbarisan askar berkuda yang ditontoni ratusan orang.

Bangunan tersebut disinari dengan lambang berkenaan tepat pada jam 20:22 waktu tempatan (1722 GMT) – sama dengan tahun kejohanan itu.

“Logo itu sangat anggun dan menunjukkan budaya tempatan dengan warna merah bendera Qatar,” kata pekerja hospitaliti dari Algeria, Mourad Bencheikh, 36, kepada AFP manakala pelawat bersesak untuk mengambil gambar penjenamaan baharu itu.

“Lama-kelamaan, orang akan menyukainya.”

Lambang itu turut dipamerkan di Madrid, Buenos Aires dan Beirut selain beberapa bandar raya utama lain.

“Ini adalah unik bagi Qatar,” kata juruukur bahan dari Sri Lanka, Mohammed Fairoos, 30, ketika dia dan sekumpulan rakan mengambil swafoto di depan projeksi Arkib Negara.

“Ia hebat sekali.”

Penganjur di Qatar berkata logo itu “diilhamkan oleh selendang bulu biri-biri tradisional yang dipakai pada bulan-bulan musim sejuk”.

Acara pada 2022 itu akan diadakan pada November dan Disember untuk mengelak musim panas yang begitu terik di rantau Teluk.

“Seperti bola sepak, populariti selendang ini merupakan kuasa penyatuan, ditenun menjadi fabrik harian dalam kehidupan rakyat,” tambah Jawatankuasa Tertinggi dalam satu kenyataan.

Persiapan bagi acara bola sepak global secara besar-besaran di Qatar semakin giat dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

Pada Mei lalu, stadium Al-Janoub yang mempunyai 40,000 kerusi – stadium binaan khas pertama yang dilancarkan untuk kejohanan berkenaan – dirasmikan dengan perlawanan akhir piala domestik yang hampir memenuhi kapasiti.

Arena itu, yang direka oleh arwah arkitek British-Iraq, Zaha Hadid, dan terletak di sebuah bandar tepi pantai ke selatan Doha, dianggarkan berharga sekitar AS$575 juta (RM2.42 bilion).

Daripada lapan buah stadium yang dibina atau diubahsuai oleh Qatar untuk 2022, Khalifa International sudah dibuka dan akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Dunia pada tahun ini.

Kejohanan itu akan menjadi ujian besar bagi kesiapsiagaan Qatar untuk menganjurkan sebuah acara sukan global.

Puluhan ribu penonton dijangka akan pergi ke negara gurun itu menjelang kejohanan yang akan bermula pada 27 September.

Pembinaan semula jalan secara besar-besaran juga sedang dijalankan di seluruh Doha untuk memperbesarkan kapasiti di persimpangan penting dan tempat yang menyaksikan kesesakan lalu-lintas.

Beberapa bahagian dalam sebuah projek rel metro yang bercita-cita tinggi telah dibuka kepada orang ramai pada Mei lalu.

Baki rangkaian tiga landasan itu dijangka dilancarkan pada 2020 – jauh awal daripada tarikh kejohanan bola sepak.

Rangkaian itu akan menghubungkan hampir kesemua stadium, hab pengangkutan dan tempat tarikan pelancong di Qatar, apabila ia siap nanti.

FIFA berdepan dengan beberapa berita utama yang negatif sejak beberapa bulan lalu termasuk keputusan pada Mei lalu untuk membatalkan rancangan bagi penyertaan 48 buah negara di kejohanan pada 2022 nanti.

Ketua FIFA Gianni Infantino telah berkempen untuk memperbesarkan kejohanan itu.

Pada Jun lalu, bekas presiden bola sepak Eropah Michel Platini disoal siasat oleh penyiasat antirasuah Perancis selama beberapa jam berhubung penganugerahan hak penganjuran kepada Qatar pada 2010. — AFP

Advertisement