Anda di sini

Bola Baling Terbuka Sabah 13-16 September

Advertisement
VIJAYA
VIJAYA

KOTA KINABALU: Edisi kedua Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah 2019 dijangka akan disertai 37 pasukan dalam dan luar negeri.

Kejohanan itu akan berlangsung di Juara Futsal Arena, Kg Ketiau, Putatan pada 13-16 September.

Presiden Bola Baling Negeri Sabah (SABHA) Vijaya Arumugam berkata, kali ini mereka turut menjemput penyertaan kelab dari Selangor, Kuala Lumpur selain Labuan dan Sarawak.

Menurutnya, penyertaan setakat ini terdiri daripada 24 pasukan lelaki dan 13 pasukan wanita.

Sarawak dijangka akan diwakili tujuh pasukan, masing-masing dua pasukan dari Selangor dan Labuan serta satu pasukan dari Kuala Lumpur manakala selebihnya pasukan tempatan Sabah.

"Cabutan undi bagi menentukan jadual dan kumpulan pasukan akan diadakan pada 7 September.

"Kami juga telah memutuskan menjemput tiga pengadil dari Selangor dan masing-msing satu dari Kuala Lumpur dan Terengganu bagi membantu enam pengadil tempatan Sabah mengendalikan pertandingan," kata Vijaya dalam kenyataan semalam.

Katanya, kejohanan itu bertujuan mempromosikan sambil memajukan sukan itu di negeri ini.

SABHA juga akan menjadikan kejohanan itu sebagai medan memilih pemain mewakili Sabah ke Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2019 di Terengganu pada 5-8 Disember.

Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah menawarkan hadiah piala, medal dan wang tunai untuk empat pasukan teratas bagi kedua-dua kategori.

Juara kategori lelaki akan menerima wang tunai RM2,000; kedua RM1,500; ketiga RM1,000 dan keempatRM500.

Juara wanita pula akan menerima RM1,500; kedua RM1,000; ketiga RM700 dan keempat RM500.

Kesemua pasukan juga akan menerima sijil penyertaan.

Sebagai rekod, edisi pertama kejohanan di venue sama pada 2017 menyaksikan pasukan Projek Bola Baling Sabah muncul juara berganda di mana mereka menjuarai kategori lelaki dan wanita.

Tempat kedua lelaki adalah FAM Union Sarawak, ketiga MJ Galaxy Sarawak dan keempat PBB KK Sabah.

Tempat kedua wanita pula ialah PBB Sandakan Sabah, ketiga Kalawon Sabah dan keempat Nabalu Women HC Sabah.

  • oleh
  • Advertisement