Anda di sini

Nenek sara empat cucu daif

Advertisement
 Jaffari (kanan) dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Libaran Rasidi Asri (kiri) bergambar bersama Putri Nursyafikah
SEMOGA BERJAYA: Jaffari (kanan) dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Libaran Rasidi Asri (kiri) bergambar bersama Putri Nursyafikah
 Jaffari menyampaikan sumbangan kepada Bilani
BANTUAN: Jaffari menyampaikan sumbangan kepada Bilani

SANDAKAN: Hanya senyuman dapat menggambarkan kegembiraan Bilani Butari, 70, apabila menerima bantuan dan pertolongan banyak pihak selepas kisah hidup daifnya menyara empat orang cucu diselami oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Jaffari Waliam.  

Kehidupan daif nenek itu yang tinggal di rumah usang bersama empat cucunya itu di perkampungan setinggan hadapan Masjid Pangiran Batu 7, di sini, telah mendapat perhatian Jaffari, kelmarin.

Jaffari yang juga ketua cabang Keadilan Libaran petang kelmarin memberitahu dia telah mendapat aduan berkaitan seorang murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Tentera Batu 7 yang sudah tiga bulan tidak dapat ke sekolah kerana masalah kesempitan hidup.

“Putri Nursyafikah Helmiansha yang sepatutnya akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan bermula esok (4 September),” katanya ketika ditemui petang kelmarin.

Namun, katanya, amat menyedihkan sekali kerana sebarang kelengkapan untuk menduduki peperiksaan itu tidak mampu disediakan.

“Putri Nursyafikah tinggal dan dijaga oleh neneknya beserta tiga lagi adik-beradiknya yang lain, berusia antara 2, 4 dan  9 tahun,” katanya.

Apabila beliau turun melihat sendiri keadaan rumah keluarga berkenaan, beliau berkata rumah mereka memang dalam keadaan usang, amat daif dan amat menyedihkan bagi sesiapa yang melihatnya.

“Alhamdulillah, saya sudah berbincang dan menguruskan dengan pihak guru besar, agar adik ini dapat mengambil peperiksaan UPSR seperti pelajar yang lain esok.

“Saya juga sudah membantu adik ini untuk membeli segala kelengkapan alat-alat tulis untuk dia gunakan sepanjang peperiksaan UPSR ini,” katanya.

Jaffari berkata, setelah berbincang dengan Pengerusi AMANAH Sabah Haris Alimudin, beliau akan cuba usahakan dalam masa terdekat ini untuk membantu membeli keperluan peralatan rumah dan akan bersama-sama dengan AMANAH Sabah bergotong royong membaiki rumah keluarga itu agar mereka mampu duduk dengan selesa.

Selain Haris, beliau bersama Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Libaran, Ketua Wanita Keadilan Cabang Libaran dan Guru Besar SK Kem Tentera telah melawat keluarga berkenaan.

Jaffari berkata semalam pihaknya telah turun bagi memasang bekalan elektrik sebagai memulakan kerja membaik pulih rumah keluarga berkenaan.

Beliau turut mendoakan agar Putri Nursyafikah memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR selepas mendapat kebenaran menduduki pemeriksaan itu bermula semalam.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang turut membantu keluarga ini,” katanya.

Sementara itu, Bilani melahirkan rasa syukur di atas pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh banyak pihak terutamanya Jaffari.

“Alhamdulillah, cucu saya Putri Nursyafikah juga dapat menduduki peperiksaan UPSR yang bermula hari ini dengan bantuan YB Jaffari, hanya Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan YB Jaffari serta pihak-pihak yang menghulurkan bantuan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement