Anda di sini

Lapangan Terbang Sandakan adakan latihan kebakaran

Advertisement
 Anggota bomba membawa mangsa helikopter terhempas untuk mendapatkan rawatan
SELAMAT: Anggota bomba membawa mangsa helikopter terhempas untuk mendapatkan rawatan

SANDAKAN: Pengguna dan kakitangan Lapangan Terbang Sandakan di sini gempar apabila sebuah helikopter melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas berhampiran bangunan terminal, semalam.

Dalam kejadian itu, seorang penumpang yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK), manakala tiga orang lagi yang cedera ringan telah diberi bantuan awal di lokasi kejadian.

Kerja memadam kebakaran dan memantau tahap keselamatan di kawasan lapangan telah dilakukan oleh kakitangan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Bagaimanapun, situasi itu hanya sekadar latihan berskala kecil yang dilaksanakan oleh Lapangan Terbang Sandakan pada tahun ini.

Bercakap kepada media, Pengurusnya Suhaimi Abdul Sani berkata latihan seumpama dilakukan setiap tahun sebagai persediaan untuk menghadapi latihan berskala besar yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

"Latihan berskala kecil dan besar ini adalah sebagai persediaan kita serta agensi-agensi berkaitan sekiranya menghadapi situasi kecemasan sebenar di lapangan terbang.

"Walaupun pada tahun ini latihan diadakan adalah berskala kecil, namun dari segi penglibatan dan peranan yang dimainkan oleh semua agensi amatlah baik.

"Respon daripada setiap agensi yang terlibat juga baik. Walaupun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki, namun secara keseluruhannya latihan ini memuaskan," katanya.

Latihan berskala kecil itu dijayakan kira-kira 120 kakitangan pelbagai agensi termasuk CAAM, JBPM, PDRM, APM, AFRS serta HDOK.


 


 

Advertisement