Anda di sini

Komando 11 Rejimen Gerakhas meninggal dunia semasa demonstrasi

Advertisement
ALLAHYARHAM Mejar Mohd Zahir
ALLAHYARHAM Mejar Mohd Zahir

KOTA KINABALU: Pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) meninggal dunia semasa melakukan latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat pada Majlis Perasmian Acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi di sini pagi semalam.

TDM dalam satu kenyataan berkata latihan demonstrasi keupayaan sudah dilaksanakan bermula 26 Ogos lalu bagaimanapun semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa terbabit.

Semasa demonstrasi terbabit, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, berlakon sebagai pengganas dengan memakai baju kalis peluru dan memegang senjata samurai lalu melepaskan tembakan ke arah pasukan TDM.

Salah seorang anggota kemudiannya membalas tembakan menyebabkan Mejar Mohd Zahir rebah dan dibawa ke tepi padang kawad sebelum diberi bantuan kecemasan lalu dihantar ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya.

Mejar Mohd Zahir yang juga anak kepada pelakon dan pelawak popular tanah air AR. Badul disahkan meninggal dunia jam 9.20 pagi di Hospital Queen Elizabeth di sini.

Beliau yang juga Komando pasukan Rejimen 11 Gerakhas Kem Sungai Udang Melaka meninggalkan balu serta lima anak berumur sembilan hingga lima bulan dan berasal dari Kuala Lumpur.
Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara ini serta menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan kepada TDM.

"Semoga keluarga redha dan sabar dengan ujian Allah S.W.T dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

"TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun Allah lebih menyayangi beliau. TDM kini sudah melaksanakan segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa berhubung kejadian ini," katanya.

Tambahnya pihaknya juga akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian ini.

  • oleh
  • Advertisement