Anda di sini

Penggiat seni suara etnik Bisaya kunjungi 'Janang Gayuh'

Advertisement
 Penggiat seni Bisaya mengabadikan gambar kenangan bersama Lajim.
ALBUM: Penggiat seni Bisaya mengabadikan gambar kenangan bersama Lajim.

KOTA KINABALU: Penggiat seni muzik etnik Bisaya di negeri ini membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Janang Gayuh DSP Dr Lajim Ukin di rumah beliau di Likas, baru-baru ini.

Pertemuan itu melibatkan sekumpulan penggiat seni muzik etnik Bisaya yang diketuai oleh Jesmi Ungkud selaku penerbit, komposer dan juga penyanyi yang telah menerbitkan sebuah album baharu berjudul Sangkulayan Vol.1.

Album baharu itu mengumpulkan penggiat seni suara dari dua daerah yang sinonim dengan suku kaum Bisaya iaitu Kuala Penyu dan Beaufort.

Album Sangkulayan Vol.1 dimuatkan dengan sembilan lagu utama daripada sembilan penanyi dan sebuah lagu bonus yang akan dinanyikan oleh hampir kesemua penanyi yang terlibat di dalam album itu yang dijangka terbit penghujung tahun ini.

Antara yang hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Jefriden Nasib (Jeff Musafir) komposer dan penyanyi, Jaman Ongot (Pakmanmc) selaku penulis lirik dan penyanyi, Sharayal Malih (RiLL RiE) dan Mohd Fairuz Matjini Cik Mieka Luksin.

Tujuan utama kunjungan adalah untuk mendapatkan perkenan presiden PBBS bagi menerbitkan album itu. 

Ketika di temui, Jesmi menyatakan harapan yang tinggi agar album itu dapat diterima oleh masyarakat KDM amnya dan seluruh masyarakat Bisaya khususnya.

Beliau juga berharap agar ada stesen radio tempatan yang bersedia memutarkan lagu-lagu di dalam album itu nanti.

"Selepas album ini, insyallah Sangkulayan Vol.2 dan Vol.3 juga akan menyusul dengan gandingan serta genre muzik yang lebih matang dan terkini," katanya.

Penyanyi dan penggiat seni Bisaya bertekad untuk terus bergiat dalam seni suara dan akan terus memperjuangkan kesenian dalam pelbagai bidang seperti lakonan dan drama serta cabang seni yang lain. 

Sementara itu, Lajim amat berbangga dan sukacita dengan keberanian penggiat seni bersaing di dalam dunia seni suara tempatan Sabah.

Katanya, sudah tiba masanya penggiat seni Bisaya mengangkat semula martabat seni suara masyarakat itu melalui PBBS dan dapat dikembangkan serta diperluaskan pasaran kepada masyarakat Bisaya yang berada di negeri lain di Malaysia.

Beliau juga berharap agar setiap lagu yang ditulis mempunyi mesej yang berguna kepada masyarakat bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

"Selepas Allahyarham Jidih Mustapa mengeluarkan album melalui penglibatan PBBS, kini sudah lama penggiat seni Bisaya tidak mengeluarkan album," katanya.

Lajim berharap agar pihak RTM Sabah dapat memberikan ruang kepada penggiat seni suara etnik berkenaan, agar lagu mereka diputarkan seperti masyarakat KDM yang lain.

Beliau juga berharap RTM mewujudkan sebuah stesen radio Beaufort seperti Tawau FM, Sandakan FM dan Keningau FM bagi memberi ruang kepada masyarakat etnik Bisaya yang berada di Beaufort menikmati saluran radio di daerah berkenaan dan dapat terus menyiarkan berita terkini serta dapat memutarkan lagu-lagu tempatan.

Advertisement