Anda di sini

Kemampuan murid-murid Tabika Kemas terbukti

Advertisement
 Ahmad Kamal (empat dari kanan) bersama Ladim (dua dari kanan) memotong kek Hari Kebangsaan.
POTONG KEK: Ahmad Kamal (empat dari kanan) bersama Ladim (dua dari kanan) memotong kek Hari Kebangsaan.

KOTA BELUD: Kemampuan murid-murid Tabika Kemas di seluruh Kota Belud terbukti apabila mereka memperlihatkan keyakinan diri muncul di hadapan tetamu dalam bacaan ikrar, bacaan doa dan deklamasi sajak sempena sambutan Hari Kebangsaan Tabika Kemas Peringkat Negeri.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas Malaysia Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, pencapaian itu adalah tanda komitmen guru-guru Kemas yang menjalankan tugas mereka dalam mendidik anak bangsa pada peringkat awal persekolahan.

Justeru, katanya, para ibu bapa tidak perlu ragu menghantar anak mereka bersekolah di Tabika Kemas kerana institusi itu sentiasa memberikan yang terbaik buat kanak-kanak untuk mereka menapak ke sekolah rendah dengan penuh bergaya seterusnya ke peringkat lebih tinggi.

“Sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, Kemas terus komited dalam memberi pengisian yang bermanfaat. Salah satu program yang kita anjurkan ialah sambutan Hari Kebangsaan Tabika Kemas peringkat negeri seperti ini,” ujarnya.

Ahmad Kamal yang juga menanggung tugas Ketua Pengarah Kemas Malaysia berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Tabika Kemas Peringkat Negeri Sabah di Tabika Kemas Nanamun.

Turut hadir ialah Pengarah Kemas Sabah Sharulnizam Jantan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tempasuk Ladim Abd Rahman, Penolong Pengarah Unit PKOM dan PKEM Kemas negeri Rugaya Abd Mumin dan Pegawai Kemas Kota Belud Nor Azhar Othman.

Ahmad Kamal berkata, selain daripada majlis sambutan Hari Kebangsaan, pihaknya juga memasukkan tema Hari Kebangsaan sebagai modul pembelajaran di seluruh Tabika Kemas sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

 Ahmad Kamal (tengah), Shahrulnizam (dua dari kiri) dan Nor Azhar (kiri) bergambar kenangan dengan murid-murid Tabika Kemas yang menyambut kedatangan mereka.
KENANGAN: Ahmad Kamal (tengah), Shahrulnizam (dua dari kiri) dan Nor Azhar (kiri) bergambar kenangan dengan murid-murid Tabika Kemas yang menyambut kedatangan mereka.

“Kita mahu terapkan semangat Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih dan juga semangat patriotik ke dalam jiwa anak-anak ini. Jika kita ingin menyemaikan sikap yang mulia, ia mesti dilakukan pada peringkat awal, bak kata pepatah ‘jika ingin melentur buluh, biar dari rebungnya’.

“Pada masa hadapan, kita akan adakan kokurikulum khusus di Tabika Kemas yang dinamakan Modul Patriotik. Kita adakan program menyambut hari merdeka dengan pelbagai pengisian yang tersusun rapi. Kita mahu anak-anak kita membesar dengan semangat cintakan negara tercinta ini,” katanya. 

Advertisement