Anda di sini

Program Maybank CR Day sukses

Advertisement
 Peserta Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019, staf Maybank, guru-guru dan ibu bapa bergambar ceria seusai majlis penutupan.
GAMBAR KENANGAN: Peserta Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019, staf Maybank, guru-guru dan ibu bapa bergambar ceria seusai majlis penutupan.

LABUAN: Kolaboratif di antara Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun dengan Maybank Malaysia Berhad, Cawangan Labuan dalam Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019 pada 24 Ogos lalu di Dewan Permata, SKSB berjaya mencungkil bakat dan potensi murid dalam berbahasa Inggeris.

Program ini melibatkan 25 orang pegawai Maybank Labuan manakala jawatankuasa bertugas terdiri daripada guru-guru SKSB dan 105 orang murid daripada Tahun 4 dan Tahun 5. 

Acara pada pagi itu dimulakan dengan Perarakan Hari Kemerdekaan yang terdiri daripada lima kontinjen termasuk kontinjen staf Maybank Berhad Cawangan Labuan. 

Perarakan murid-murid ini dikendalikan oleh Panitia Sejarah dan Panitia Bahasa Inggeris. 

Bagi menceriakan suasana, murid-murid berarak dengan memakai pakaian yang melambangkan perpaduan dan tema kemerdekaan Malaysia. 

Mereka berarak seawal jam 7.00 pagi di Dataran Perhimpunan SKSB sambil membawa bendera Malaysia dan logo tema sambutan hari kemerdekaan tahun ini iaitu 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih'.

Kontinjen-kontinjen tersebut ialah Kontinjen Rentap yang melibatkan 26 orang murid dengan diiringi oleh tiga orang guru iaitu Frederick Singan, Evelyn Martin dan Normah. 

Kontinjen Tok Janggut pula terdiri daripada 26 orang murid dan tiga orang guru iaitu Mariam Basir, Noor Farehin Yusof dan Noraliza Allbi. 

Kontinjen Antanom juga terdiri daripada 26 orang murid dan tiga orang guru iaitu Shafawati Seliat, Wong Lee Choo dan Sanimah Tali. 

Rabiatul Adawiah, Shalihin, dan Mylsa Avinnie Musah pula mengiringi kontinjen Mat Kilau yang terdiri daripada 27 orang murid. 

Kontinjen Maybank Labuan pula terdiri daripada 10 orang staf yang diketuai oleh Pengarah Maybank Cawangan Labuan, Jofri Baharuddin.

Bagi mencungkil bakat serta kemahiran berbahasa Inggeris, pihak penganjur menyediakan pertandingan 'Musical Drama' , 'The best essay'  dan 'Singing Competition'.  

 Peserta Rumah Mat Kilau menjuarai keseluruhan acara yang dipertandingkan.
JUARA: Peserta Rumah Mat Kilau menjuarai keseluruhan acara yang dipertandingkan.

Pertandingan Musical Drama ini terdiri daripada tiga kumpulan yang membawakan lagu tema Do Re Mi, Favourite Things dan So Long, Forewell!. 

Semua aktiviti menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara dan dibimbing oleh guru-guru subjek Bahasa Inggeris. 

Manakala Singing Competition telah disertai seramai lapan orang murid. Kesemua pertandingan ini diadili oleh pegawai-pegawai daripada Maybank, Labuan.

Guru Besar SKSB, Dg. Sarifah A. Mahmod merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kepercayaan pihak Maybank Berhad Cawangan Labuan yang telah memilih SKSB bagi melaksanakan program Seed of Future and Global CR Day 2019. 

“Selaku guru besar dan ketua di sini, saya sangat terharu di atas kepercayaan pihak Maybank kepada pihak sekolah. SKSB sangat beruntung kerana sudah dua tahun menjadi rakan kerjasama dengan Maybank. Banyak manfaat yang diperolehi oleh murid-murid. 

Pihak sekolah sentiasa membuka pintu kepada mana-mana agensi untuk berkolaborasi bagi menjayakan program ke arah kemenjadian murid dan kecemerlangan sekolah,”katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Maybank Cawangan Labuan, Jofri Baharuddin, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Maimon Matnoh, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Wiwik Iswandari Sudirman, guru-guru dan ibu bapa.

Dalam ucapannya, Jofri turut melahirkan rasa bangga di atas kerjasama dan komitmen padu kedua-dua pihak dalam melaksanakan program tersebut.  

“Saya sungguh seronok melihat persembahan murid-murid. Mereka berani berbahasa Inggeris dan sangat yakin berada di atas pentas. 

"Terserlah bakat anak-anak dalam bidang lakonan dan nyanyian malah mereka dapat menghayati bait-bait perkataan yang dituturkan dengan baik. Aktiviti yang dilaksanakan menjadi platform untuk menggalakkan murid-murid mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. 

"Ia secara tidak langsung dapat menarik minat murid terhadap bahasa Inggeris,”katanya ketika berucap semasa majlis penutupan.

Menurut Jofri lagi, Program Maybank Corporate Responsibility (CR) Day 2019 merupakan satu tanggungjawab korporat yang dilaksanakan saban tahun. 

Fokus pada tahun ini adalah terhadap penguasaan bahasa Inggeris selaras dengan peranannya sebagai bahasa utama dunia. 

Ketua Panitia Bahasa Inggeris SKSB Noor Farehin Mohd Yusof, turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Maybank Cawangan Labuan atas sumbangan buku-buku cerita bahasa Inggeris dan sumbangan tenaga untuk menyediakan sudut bacaan kedua di SK Sungai Bedaun.

Jofri, Dg Sarifah dan Maimon turut merasmikan sudut bacaan Maybank di Dewan Permata dan mengadakan lawatan ke sudut bacaan pertama Maybank yang terletak di Pusat Sumber Sekolah. 

Dengan adanya kedua-kedua sudut bacaan Maybank ini, akan bertambahlah bahan bacaan Bahasa Inggeris untuk murid-murid SK Sungai Bedaun.

 Kontinjen Antanom ceria bergambar bersama 'Basikal Merdeka'.
CERIA: Kontinjen Antanom ceria bergambar bersama 'Basikal Merdeka'.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah dan makan tengah hari yang telah disumbangkan oleh Maybank.

Semoga murid-murid terus bermotivasi dalam pembelajaran mereka dan berminat terhadap bahasa Inggeris. 

Semoga kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. 
Tamat.

Advertisement