Anda di sini

Kelahiran bayi tanggal 31 Ogos jadi tumpuan

Advertisement
 Petugas-petugas Hospital Tuanku Jaafar bergambar bersama ‘bayi-bayi merdeka’ yang dilahirkan di Seremban, semalam. — Gambar Bernama
‘BAYI MERDEKA’: Petugas-petugas Hospital Tuanku Jaafar bergambar bersama ‘bayi-bayi merdeka’ yang dilahirkan di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Saban tahun, tarikh keramat 31 Ogos bukan sahaja sinonim dengan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan negara, bahkan ia mencatat momen bermakna buat pasangan ibu bapa yang menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-62 kemerdekaan negara semalam, kelahiran ‘bayi merdeka’ menjadi antara tumpuan liputan dan agenda keraian di beberapa hospital serta pusat bersalin di seluruh negara.  

Di ibu negara, lima kelahiran bayi generasi pewaris dicatatkan di Hospital Kuala Lumpur  sejak detik 12 tengah malam kelmarin dengan dua bayi lelaki dan tiga perempuan, setakat 12 tengah hari.

Di SELANGOR, seramai 56 bayi dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini, setakat jam 12 malam sehingga 8 pagi semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata antara hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Shah Alam, Selayang  dan Kajang.

“Daripada 56 bayi itu, 21 adalah bayi lelaki dan 35 bayi perempuan. Sepuluh bayi dilahirkan di  di HTAR, tujuh bayi di Hospital Shah Alam dan dua pasangan kembar masing-masing di Hospital Selayang serta Kajang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah bayi itu juga 45 daripada mereka adalah berbangsa Melayu, India (tujuh), Cina (dua) dan masing-masing satu warga Myanmar serta Indonesia.

Di PUTRAJAYA, seramai 10 kelahiran bayi Merdeka direkodkan di Hospital Putrajaya dengan enam lelaki dan empat perempuan.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 18 kelahiran bayi direkodkan terdiri daripada sembilan bayi lelaki dan sembilan bayi perempuan, masing-masing di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (13) dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah (lima), sehingga 12 tengah hari semalam.

Di JOHOR, seramai 20 bayi merdeka dilahirkan di beberapa hospital di sini, dengan bayi pertama dilahirkan pada 12.16 tengah malam kelmarin.

Daripada jumlah itu, seramai 11 adalah bayi perempuan manakala sembilan lagi bayi lelaki.

Di KOTA KINABALU, seramai 17 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, di sini, sehingga 12 tengah hari  dengan 11 daripadanya adalah perempuan manakala enam lagi bayi lelaki.

Di KEDAH, seramai 31 bayi, membabitkan 17  bayi lelaki dan 14 bayi perempuan, dilahirkan di beberapa hospital sehingga 10 pagi semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kelahiran paling awal direkodkan ialah di Hospital Kulim iaitu pada 12.10 pagi membabitkan seorang bayi lelaki seberat 3.4 kilogram.

“Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan 10 bayi; Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (sembilan); Hospital Kulim (tujuh) dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dengan lima bayi,” katanya dalam satu kenyataan. — Bernama

Advertisement