Anda di sini

Bomba Komuniti langkah proaktif hindari kebakaran di kampung

Advertisement
 Rozman (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang ketua kampung sambil diperhatikan Zainal (dua kiri), Fary (dua kanan) dan Simsudin (kiri).
SIJIL: Rozman (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang ketua kampung sambil diperhatikan Zainal (dua kiri), Fary (dua kanan) dan Simsudin (kiri).

LABUAN: Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti merupakan langkah proaktif Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam memastikan masyarakat seluruh negara dapat dihindarkan daripada pelbagai bahaya kebakaran terutama di kediaman.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata, tujuan utama penubuhan Pasukan Bomba Komuniti adalah supaya masyarakat di sesebuah kampung dapat didedahkan dengan tatacara mengendalikan kejadian kebakaran.

"Pihak JBPM mendedahkan kepada Pasukan Bomba Komuniti berkaitan pencegahan kebakaran untuk disebarkan kepada seluruh penduduk kampung masing-masing," katanya semasa menyempurnakan pelancaran Pasukan Bomba Komuniti dan Skuad Bomba Tahfiz Peringkat Labuan, pagi semalam.

Bomba komuniti diberi pengetahuan membuat panggilan kecemasan, tatacara menyampaikan maklumat yang tepat semasa melaporkan kes kecemasan, peranan dan tanggungjawab sebelum, semasa dan selepas operasi pemadaman dan penyelamatan berakhir, perkara asas melawan kebakaran dan cara-cara pencegahan kebakaran di rumah kediaman.

Rozman percaya kaedah penyampaian seperti itu amat efektif dan perlu diteruskan sehingga kesedaran masyarakat khususnya di Labuan sampai ke tahap memuaskan.

Tambahnya, pelancaran Skuad Bomba Tahfiz di ketiga-tiga Sekolah Tahfiz atau Madrasah Labuan amat bertepatan memandangkan pelbagai kes kebakaran melibatkan sekolah-sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negara berlaku kebelakangan ini.

Beliau berharap penubuhan pasukan itu dapat memberi kesiapsiagaan serta kemahiran pencegahan bahaya kebakaran.

Terdahulu, Pengarah JBPM Labuan Zainal Madasin berkata pihaknya mengambil langkah drastik menjadikan Majlis Perwakilan Penduduk di Labuan sebagai rakan strategik menubuhkan Pasukan Bomba Komuniti di setiap kampung.

"Melalui penubuhan ini, JBPM Labuan mampu menembusi sasaran dengan cara menyalurkan maklumat mengenai pencegahan kebakaran kepada Pasukan Bomba Komuniti setiap kampung dan seterusnya komuniti ini akan menyebarkannya di kawasan masing-masing.

"Setakat hari ini, JBPM Labuan telah menerima sebanyak 19 penyertaan dalam Pasukan Bomba Komuniti dari kampung-kampung di Labuan," katanya.

Majlis itu turut diserikan program 'Fire Fighter Fun Ride' sejauh 30km yang melibatkan 260 peserta termasuk 100 dari Brunei Darussalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan Simsudin Sidek.

Advertisement