Anda di sini

Sindiket seludup tumpas, rokok seludup bernilai RM6 juta dirampas

Advertisement
 Pajeri bersama Rusdin serta pegawai kanan memeriksa rokok yang berjaya dirampas.
RAMPAS: Pajeri bersama Rusdin serta pegawai kanan memeriksa rokok yang berjaya dirampas.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin Sandakan berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok susulan kejayaan merampas 41,250 bungkus rokok bernilai lebih RM6 juta di Kampung Jepun Batu 8, malam kelmarin.

Enam lelaki warga asing berumur 13 hingga 56 tahun turut ditahan dalam serbuan yang dibuat seorang pegawai dan sembilan anggota Unit Risikan Pasukan Polis Marin Sandakan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Pajeri Ali berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya yang diketuai seorang pegawai berpangkat ASP telah memecahkan dua pasukan untuk operasi serbuan di kawasan sungai dan darat Kampung Jepun Batu 8, kira-kira jam 9 pagi.

Beliau berkata, operasi itu menyasarkan satu sindiket penyeludupan rokok bergiat aktif di sekitar perairan Sandakan yang masuk dari negara jiran Filipina.

“Kira-kira jam 11.30 malam, pasukan kita telah membuat serbuan itu semasa enam lelaki terbabit sedang leka memunggah rokok dari jeti ke dalam dua van di kawasan itu,” katanya.   

Katanya, hasil serbuan itu telah berjaya merampas rokok jenama Astro merah sebanyak 26,750 bungkus dan 14,500 bungkus Astro hijau.

“Kita turut merampas dua van yang mana salah satu van terbabit telah dipenuhi muatan rokok,” katanya.   

Pajeri berkata, pihaknya telah berjaya menahan kesemua enam lelaki warga Filipina semasa serbuan itu.

“Anggaran rokok yang berjaya dirampas bernilai RM602,400 dan nilai rampasan selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM6.024,000. Dua van yang dirampas dianggarkan bernilai RM50 ribu,” katanya.

Katanya enam lelaki ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan.

“Kes ini di siasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Pasukan Polis Marin Sandakan khususnya Pegawai Pemerintah Marin Sandakan DSP Rusdin Banin yang berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok.

Kejayaan itu, katanya, merupakan yang terbesar Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah dalam tahun ini.

Pajeri berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi operasi membendung jenayah rentas sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan.

  • oleh
  • Advertisement