Anda di sini

PM Britain paksa penggantungan parlimen

Advertisement
 Seorang lelaki memakai topeng menyerupai Johnson, di sebelah nisan olok-olok dengan perkataan ‘Bersemadi Dengan Tenteram Demokrasi British’, ketika menunjuk perasaan di luar Downing Street di tengah London kelmarin. — Gambar AFP
PROTES: Seorang lelaki memakai topeng menyerupai Johnson, di sebelah nisan olok-olok dengan perkataan ‘Bersemadi Dengan Tenteram Demokrasi British’, ketika menunjuk perasaan di luar Downing Street di tengah London kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat yang pro-Eropah dan ahli parlimen (MP) yang menentang Brexit tanpa perjanjian apabila beliau memaksa penggantungan parlimen beberapa minggu sebelum tarikh Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Mata wang pound jatuh selepas berita mengejutkan itu dilaporkan kelmarin, yang dilabel oleh penentang sebagai “kudeta” dan “deklarasi perang” tetapi didakwa oleh Johnson sebagai perlu untuk membolehkannya melaksanakan agenda domestik baharu yang “berani dan bercita-cita tinggi”.

Ia berlaku sehari selepas parti pembangkang berjanji untuk mendapatkan perubahan perundangan bagi mencegah Brexit tanpa perjanjian.

Ratu Elizabeth II me-luluskan permintaan untuk menamatkan sesi parlimen paling lama dalam tempoh hampir 400 tahun pada minggu kedua September dan membukanya semula pada 14 Oktober – hanya lebih dua minggu sahaja sebelum Brexit.

Ribuan menunjuk perasa-an di London, Manchester, Edinburgh dan bandar raya lain, manakala petisyen dalam talian yang mengecam keputusan itu telah mendapat lebih 1.1 juta tandatangan pada awal semalam.

Pada perhimpunan terbesar, orang ramai berkumpul berhampiran parlimen di London sambil melaung “hentikan kudeta” dan me-ngibarkan bendera EU.

“Parlimen akan berpeluang untuk membahaskan program keseluruhan kerajaan, dan pendekatan kepada Brexit,” janji Johnson, yang mengetuai Parti Konservatif, dalam sepucuk surat kepada MP.

Bagaimanapun keputusannya menimbulkan kemarahan penggubal undang-undang yang menentang sekeras-kerasnya tindakan Britain meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian pada 31 Oktober nanti.

Jeremy Corbyn, ketua pembangkang utama Parti Buruh, mengecam langkah itu sebagai “satu tindakan hempas dan rampas menentang demokrasi” dan mene-gaskan beliau mungkin akan menuntut undi tidak yakin kepada kerajaan Johnson, yang memiliki majoriti hanya satu kerusi sahaja.

Bekas canselor Philip Hammond turut berjanji untuk terus berjuang menentang pemisahan tanpa perjanjian.

“Ia pasti satu pencabulan perlembagaan jika parlimen dihalang daripada mempertanggungjawabkan kerajaan pada waktu krisis kebangsaan,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump masuk campur dalam perbalahan itu dengan memuji Johnson sebagai “hebat” dan mendakwa ia pasti “sangat sukar” bagi Corbyn untuk menggulingkannya dalam undi tidak yakin.

Pemimpin Buruh itu menjawab balik, dan berkata dalam Twitter bahawa Johnson merupakan “seorang perdana menteri yang suka menurut dan akan menyerahkan perlindungan dan perkhidmatan awam Britain kepada syarikat kor-porat AS dalam perjanjian dagangan bebas”.

Dalam pungutan suara bersejarah pada 2016 mengenai keanggotaan Britain dalam EU, 52 peratus mengundi untuk menyokong usaha meninggalkan blok tersebut, keputusan yang telah memecah-belah parlimen dan negara.

Johnson menegaskan Britain mesti meninggalkan EU pada 31 Oktober – yang sudah dua kali ditangguhkan – dengan atau tanpa perjanjian perceraian dari Brussels.

Parlimen sudah tiga kali menolak perjanjian pengunduran yang dimeterai Brussels dengan kerajaan perdana menteri lama Theresa May.

Penggubal undang-undang pembangkang memanggilnya “Brexit buta” manakala golo-ngan yang tidak menyukai Eropah membantah apa yang dipanggil peruntukan “backstop” untuk terus membuka sempadan Ireland kepada manusia dan barangan, yang akan memastikan Britain terus sejajar dengan EU.

Johnson mahu EU menggugurkan langkah ‘backstop” sepenuhnya – sesuatu yang Brussels berulang kali tolak.

Di Paris, Setiausaha Brexit Britain, Stephen Barclay, memberitahu sebuah persidangan perniagaan kelmarin bahawa EU akan dipersalahkan kerana “tidak bertolak ansur” dalam isu ‘backstop’ jika tiada perjanji-an dicapai.

Ketua penasihat kerajaan bagi Brexit, David Frost, berada di Brussels untuk mengadakan rundingan, tetapi satu sidang kemuncak EU pada 17-18 Oktober kemungkinan besar akan menentukan sama ada skop bagi kompromi ada ataupun tidak.

Jika tidak, Britain akan menamatkan keanggotaannya selama empat dekad tanpa perjanjian untuk menentukan hubungan dagangan dan hak warga negara pada masa depan.

Sementara itu, ketua Konservatif di Scotland, Ruth Davidson dikatakan meletak jawatan semalam sebaha-giannya kerana membantah strategi Brexit Johnson yang keras, menurut laporan. — AFP

Advertisement