Anda di sini

Amni Naeelah, Gabriella Isabelle harumkan nama SKK Rancha-Rancha

Advertisement
 Pemenang Pertandingan Bercerita Tahap 1 dan Tahap 2 bersama Jaafar (dua kanan), Asmawi (kanan) dan Norinnie.
KENANGAN: Pemenang Pertandingan Bercerita Tahap 1 dan Tahap 2 bersama Jaafar (dua kanan), Asmawi (kanan) dan Norinnie.

LABUAN: Murid tahun lima, Amni Naeelah Ahmad Saifuddin dan murid tahun tiga, Gabriella Isabelle Huminodun Jisty masing-masing dari Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Rancha-Rancha muncul johan bagi kategori Tahap 2 dan Tahap 1 dalam Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang berlangsung di Dewan Terbuka dan Pusat Sumber Sekolah berkenaan, kelmarin.

Dengan kejayaan itu, kedua-duanya akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke peringkat kebangsaan di Kuantan, Pahang pada 17-19 September depan.

Naib johan kategori Tahap 2 menjadi milik Ahmad Wafiq Mohd Redzuan dari SK Kerupang manakala ketiga murid SK Pekan 2, Iris Qasreena Mohamad Haszri.

Bagi kategori Tahap 1, naib johan dimenangi murid SK Tanjung Aru, Auni Hannani Hasbudin dan tempat ketiga disandang Vanessa Trinity Jason yang mewakili SK St Anne.

Ketua hakim pertandingan bercerita Tahap 1 ialah Jamilah Ag Kanak manakala Rositah Abdul Rahman bertindak sebagai ketua hakim Tahap 2.

Barisan hakim Tahap 1 Fauziah Saamah dan Saripah Suip, manakala bagi Tahap 2 ialah Hasnan Mohd Saad dan Norailing Vou.

Pengerusi Teknik bagi pertandingan itu ialah Norliah Abd Gapar sementara SK Rancha-Rancha merupakan pengelola pertandingan.

Sebanyak 16 sekolah rendah dengan 16 murid Tahap 1 dan 16 murid Tahap 2 menyertai pertandingan itu.

Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan (SPPK) Jabatan Pendidikan Labuan Jaafar Matusin menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir, Penolong Pengarah Unit Kelab Persatuan SPPK JPNWPL Asmawi Ahmad dan Guru Besar SK Rancha-Rancha Norinnie Kassim.

Sementara itu, Norinnie berharap kedua-dua murid berkenaan akan berlatih lebih gigih di bawah bimbingan jurulatih, bukan sahaja untuk menyaingi peserta lain tetapi juga berpeluang membawa gelaran juara di peringkat kebangsaan kelak.

“Peluang untuk meraih tiga tempat teratas tetap ada namun mereka perlu bekerja dan berlatih lebih gigih,” katanya.

Beliau yakin dengan tunjuk ajar jurulatih Tahap 1, Fauziah Saamah dan jurulatih Tahap 2, Norfadzillahwati Ismail, kedua-dua murid itu akan menyerlah di Kuantan.

Advertisement