Anda di sini

SMK Labuan juara keseluruhan Karnival Kadet JPJ Labuan 2019

Advertisement
Rozman (enam kanan) bersama pasukan Kadet JPJ SMK Labuan
Rozman (enam kanan) bersama pasukan Kadet JPJ SMK Labuan

LABUAN: SMK Labuan muncul juara keseluruhan Karnival Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Muzium Chimney Labuan, baru-baru ini.
Dengan kejayaan itu, SMK Labuan membawa pulang hadiah piala pusingan.

SMK Labuan menjuarai Aktiviti 1 (Simpulan dan Ikatan) untuk memenangi hamper, naib johan SM St Anthony dan tempat ketiga SMK Pantai.

Sekolah itu turut memenangi Aktiviti 2 (Puzzle dan Susunan Silang Kata) manakala SM St Anthony dan SMK Pantai masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Aktiviti 3 (Melukis secara berkumpulan) turut dimenangi SMK Labuan, naib johan SM St Anthony dan SMK Mutiara tempat ketiga.

Sementara itu, dalam Aktiviti 4 (Tali Terpanjang) juara disandang SMK Pantai, kedua dan ketiga SMK Labuan.

Johan bagi Aktiviti 5 (Masakan Ikhtiar Hidup) dimenangi SMK Mutiara, naib johan SMK Labuan dan ketiga SMK Pantai.

Aktiviti 6 (Monumen dari barang hanyut) dimenangi SMK Labuan, naib johan SM St Anthony dan ketiga SMK Pantai.

Karnival Kadet JPJ 2019 dianjurkan Jabatan Pengangkutan Jalan Labuan, Kelab Kebajikan dan Rekreasi JPJ Labuan, Jabatan Pendidikan Labuan dan Jabatan Muzium Chimney Labuan.

Matlamat program addalah untuk memupuk semangat bersatu padu dalam satu kumpulan kadet JPJ, melahirkan Kadet JPJ yang berdisiplin, berdedikasi dan berketrampilan serta mampu menjadi pemimpin yang berkaliber dan memberi peluang kepada Kadet JPJ yang berminat untuk lebih aktif dalam unit beruniform.

Aktiviti Trail yang melibatkan empat lokasi iaitu Lokasi 1, Stesen Simpulan dan Ikatan serta Puzzle dan susunan silang kata; Lokasi 2, menulis secara berkumpulan dan aktiviti menggunakan tali secara berkumpulan; Lokasi 3, masakan ikhtiar hidup dan monumen daripada barang hanyut; dan Lokasi 4, kuiz sejarah dan patriotisme.

Karnival itu melibatkan lima sekolah iaitu SMK Labuan, SMK Pantai, SMK Mutiara, SM St Anne dan SM St Anthony.

Kontinjen SMK Labuan melibatkan 20 pelajar kadet JPJ yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 serta dua guru pengiring.

Guru pengiring dan jurulatih SMK Labuan yang terlibat ialah Cikgu Nazrin Ismail, Cikgu Noraslindah Hassan dan Cikgu Emma Fadzilah Adis.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Turut hadir, Pengarah JPJ Labuan Mohammad Afdhal Mohd Ruslan, Pemangku Pengarah Muzium Labuan Nazli Ho Abdullah dan wakil Jabatan Pendidikan Labuan Aminuddin Abd Malek.
Sementara itu, Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kejayaan kontinjen Kadet JPJ SMK Labuan pada tahun ini.

“Saya yakin kejayaan itu adalah hasil komitmen dan tunjuk ajar guru-guru yang terlibat. Tahniah kepada semua pelajar yang memperolehi kemenangan dalam karnival JPJ 2019,” katanya.

Advertisement