Anda di sini

Kolej Komuniti Tawau adakan Kursus Asas Pertahanan Awam

Advertisement
 
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Kursus Asas Pertahanan Awam

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Kursus Asas Pertahanan Awam

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Kursus Asas Pertahanan Awam
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Kursus Asas Pertahanan Awam

TAWAU: Kolej Komuniti Tawau telah mengadakan Kursus Asas Pertahanan Awam Kadet Pispa bertempat di Balung River Eco Resort, baru-baru ini.

Kursus itu melibatkan 140 bakal kadet Pasukan Institusi Pertahanan Awam (Pispa) Kolej Komuniti Tawau yang terdiri daripada para pelajar semester satu dan dua.

Kursus asas itu merupakan kerjasama Pispa Kolej Komuniti Tawau bersama Pejabat Pertahanan Awam Daerah Tawau. Ia diadakan bagi melengkapkan syarat utama seseorang pelajar untuk ditauliahkan sebagai Kadet Pertahanan Awam.

Kursus Asas Pertahanan Awam itu perlu dijalankan di seluruh IPTA yang mempunyai pasukan uniform di bawah pengurusan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi melengkapkan pembelajaran teori dan amali dalam Silibus Asas Pertahanan Awam.

Objektif utamanya adalah untuk menyebar dan mendidik pelajar mengenai langkah-langkah keselamatan diri dan orang awam serta membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang individu yang berpengetahuan dalam ilmu pertahanan awam.

Selain itu, melalui kursus asas itu, secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada kesedaran keselamatan orang awam melalui ilmu pertahanan awam yang diterap dan diaplikasikan di peringkat institusi pendidikan, khususnya di Kolej Komuniti Tawau.

Di samping itu, kursus asas itu berjaya melahirkan pelajar yang mampu berkhidmat dalam APM sebagai kadet Pispa yang berkepimpinan, bertanggungjawab dan berkelayakan dalam melaksanakan tugas.

Oleh demikian, pelaksanaan aktiviti dalam kursus asas itu mampu menanam semangat kerjasama, bertanggungjawab, berperikemanusiaan, taat setia dan cintakan negara serta bersemangat patriotisme.

Pegawai APM Daerah Kapten (PA) Hussain Mohd Noor menjelaskan, setiap modul yang dipelajari secara teori dan amali dikendalikan oleh jurulatih APM yang bertauliah dan berpengalaman.

"Kursus selama dua hari ini yang memberikan latihan kawad kaki, asas melawan kebakaran, aktiviti merentas hutan dan pertolongan cemas adalah untuk menjadikan para peserta kursus sebagai pelapis serta bantuan tambahan sekiranya diperlukan," jelasnya.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Kolej Komuniti Tawau Sofian Mohd.

Beliau menekankan bahawa pelaksanaan kursus itu merupakan satu usaha murni yang menjadi landasan utama untuk melahirkan pelajar yang berkepimpinan, berkelayakan dan profesional, seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Advertisement