Anda di sini

Sarapan pagi percuma perlu utamakan murid luar bandar dan miskin

Advertisement
JANNIE DAN JIMMY
JANNIE DAN JIMMY

KOTA KINABALU: Penyediaan sarapan pagi percuma perlu memberikan keutamaan kepada murid-murid yang berada di kawasan luar bandar atau pedalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, keutamaan itu penting memandangkan ramai dalam kalangan murid yang berasal dari pedalaman tidak menikmati sarapan pagi disebabkan wujudnya pelbagai kekurangan.

"Tidak ramai murid di kawasan pedalaman memakan sarapan pagi sebelum berjalan berjam-jam ke sekolah.

"Ini kerana, ibu bapa perlu bangun untuk menghidupkan api menggunakan kayu bagi memasak. Terdapat juga dalam kalangan murid itu hanya memakan lebihan hidangan makan malam sebelumnya untuk mengisi perut sebelum bertolak ke sekolah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, kawasan perkampungan juga tidak mempunyai kemudahan seperti kantin atau kedai runcit yang menyediakan makanan pagi seperti kuih muih atau sebagainya di sepanjang perjalanan ke sekolah.

Sebaliknya, murid di kawasan bandar selalunya diberikan duit saku oleh para ibu bapa untuk membeli sarapan di kantin sekolah atau disediakan sendiri.

"Ramai juga murid-murid di kawasan bandar diberikan wang untuk membeli makanan atau sarapan sendiri.

"Saya berpendapat cadangan memberikan sarapan pagi percuma adalah sangat baik dan boleh mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung oleh ibu bapa yang berada di pedalaman," katanya.

Jannie yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri berkata, peruntukan yang disediakan untuk tujuan itu sudah pasti besar jumlahnya.

Menurutnya, semua pihak harus sentiasa ingat agar dapat mengelakkan sebarang ketirisan ketika penyediaan sarapan pagi percuma kepada murid-murid di negara ini.

"Pastikan sarapan pagi itu betul-betul bertepatan dengan pemakanan nutrisi yang diperlukan oleh anak-anak ini.

"Ini adalah satu polisi kerajaan yang sangat baik, saya berharap ia dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dong Zong Sabah Datuk Jimmy Yong Kyok Ming berkata, inisiatif itu sangat baik dan ia diharap dapat diperluaskan kepada pelajar sekolah menengah juga.

Katanya, untuk mengelakkan daripada berlaku ketirisan dalam penyediaan sarapan pagi percuma, kerajaan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah perlu sentiasa melakukan pemantauan.

"Pemantauan serius perlu dilaksanakan terhadap semua pihak yang terlibat termasuklah sekolah.

"Kita mahu perkara ini dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya tanpa wujud sebarang salah laku atau mengambil kesempatan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement