Anda di sini

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

Advertisement
 Ishak (dua kanan) menyempurnakan gimik penanaman anak pokok durian Musang King sambil dibantu Mohamad Harun (kiri) pada Majlis Perasmian Kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Durian Musang King di Institut Latihan FAMA semalam. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Ishak (dua kanan) menyempurnakan gimik penanaman anak pokok durian Musang King sambil dibantu Mohamad Harun (kiri) pada Majlis Perasmian Kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Durian Musang King di Institut Latihan FAMA semalam. — Gambar Bernama

PORT DICKSON: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk membangunkan tanah wakaf terbiar khususnya di pinggir bandar dan kawasan terpencil yang terdapat di seluruh negeri, dengan penanaman durian.

Pengerusinya Ishak Ismail berkata sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam mempertimbangkan hasrat berkenaan dalam usaha menggalakkan lebih ramai penanam baharu sekali gus memberi nilai tambah kepada tanah wakaf itu sendiri.

“Kita mahu menjalinkan kolaborasi bersama kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam, untuk melihat tanah terbiar ini dapat diusahakan bersama FAMA kerana kita lihat ia sangat berpotensi untuk kita tingkatkan nilai dengan cara penanaman durian Musang King.

“Kita mahu jadikan tanah wakaf itu sebagai tapak pertanian yang diusahakan oleh penanam muda dan hasil yang diperolehi nanti kita akan pasarkan ke luar sama ada melalui FAMA atau ruang pasaran yang disediakan,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Kursus Upskilling Pembangunan Tanaman Musang King di Institut Latihan FAMA, di sini, semalam.

Menurut Ishak, berdasarkan data yang diperolehi, terdapat banyak tanah wakaf terbiar di seluruh negara yang mencecah nilaian sehingga RM58 bilion tetapi ia terkunci begitu sahaja tanpa diusahakan.

Mengenai penanaman durian Musang King, Ishak berkata menurut pakar pertanian, sepohon pokok matang durian Musang King dapat mengeluarkan hasil sebanyak 120 biji durian, dan mampu memberi pulangan sebanyak RM3,600, jika harga buah dijual dengan RM20 sekilogram.

Katanya, pulangan menjual Musang King dilihat lebih tinggi jika dibandingkan dengan tanaman lain seperti nanas, kelapa, kelapa sawit dan getah.

“Harga durian Musang King secara purata mencecah RM30 hingga RM100 sekilogram bagi pasaran tempatan, manakala RM400 hingga RM800 sekilogram bagi pasaran luar negara, tidakkah itu sangat menguntungkan,” katanya.

Ishak berkata walaupun pembangunan durian Musang King diperhebatkan di pasaran luar negara, tetapi pihaknya memberi jaminan bahawa Raja Buah itu boleh dinikmati oleh masyarakat tempatan, dengan harga yang mampu milik.

Dalam pada itu, Ishak juga berkata FAMA telah bekerjasama dangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjadi salah satu agensi pembimbing halal, bagi memastikan produk yang dikeluarkan memenuhi konsep Halalan Toyyibah.

Beberapa pegawai FAMA akan diberi khusus pentauliahan oleh pihak JAKIM, sebelum dapat membantu lebih 6,000 usahawan FAMA mendapat sijil halal.

— Bernama

Advertisement