Anda di sini

PSS terus promosi latihan, lahir belia kompeten dalam pelbagai bidang pertanian

Advertisement
 Daud (tengah) bersama dua wakil syarikat yang berkolaborasi dengan PSS.
KOLABORASI: Daud (tengah) bersama dua wakil syarikat yang berkolaborasi dengan PSS.

SANDAKAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melalui Politeknik Sandakan Sabah (PSS) akan terus mempromosikan program latihan untuk melahirkan golongan belia yang kompeten dalam pelbagai bidang pertanian.

Pembantu Menterinya, Dr Daud Yusof berkata, ia bukan sahaja penting bagi memenuhi permintaan tenaga mahir daripada sektor awam dan swasta, tetapi juga bagi melahirkan bakal usahawan dalam bidang berkenaan.

Katanya, ketika ini, bidang-bidang pertanian di negeri ini sangat berpotensi untuk dibangun dan dimajukan ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.

"Terdapat pelbagai sumber utama pertanian antaranya tanah dan perikanan yang masih belum diterokai sepenuhnya.

"Justeru itu, usaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pertanian perlu diteruskan agar sektor ini mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Sektor pekebun kecil yang bersifat tradisional juga perlu ditransformasikan menjadi sektor yang moden, dinamik dan komersil. Pada masa yang sama, proses pembangunan industri pemprosesan berasaskan pertanian juga perlu dipercepatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Politeknik Sandakan Sabah 2019 di Dewan Kuliah PSS, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Haji Mohammad Amin Hamat dan Pengarah PSS, Leftenan Kolonel Bersekutu, Tajul Ariffin Mohamed Arif.

Hari terbuka itu dianjur bagi memperkenalkan PSS kepada masyarakat setempat khususnya di Sandakan, dengan fokus untuk mempromosi produk negara yang berasaskan pertanian.

Pertanian yang merangkumi pertanian dan juga agrikultur merupakan dua bidang yang ditawarkan di PSS iaitu Diploma Agroteknologi dan Diploma Akuakultur.

Pada majlis itu, Daud turut menyaksikan jalinan kolaborasi dan persefahaman diantara PSS dengan dua pihak iaitu GE Nitrate Solutions dan Formaniaga Sdn Bhd.

Jalinan kolaborasi dan kerjasama itu digarap dan dirangka agar memberikan impak yang positif terhadap pencapaian akademik pelajar dan relevan dengan teknologi semasa.

Kerjasama strategik itu juga diharapkan menjadi asas dan panduan kepada kedua-dua pihak untuk bersama berkongsi kepakaran dan kemudahan.

  • oleh
  • Advertisement