Anda di sini

54 suspek dadah diberkas

Advertisement
 Beberapa suspek dadah diperiksa anggota polis dalam operasi itu.
TANGKAPAN: Beberapa suspek dadah diperiksa anggota polis dalam operasi itu.

KOTA KINABALU: Seramai 54 individu ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di sini bermula 17 hingga 23 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 13 hingga 63 tahun.

Katanya, seramai 36 suspek adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing.

"Dua tangkapan melibatkan kesalahan bekalan dan pengedaran dadah, 12 individu bagi kesalahan memiliki dadah dan 40 individu melibatkan kesalahan urin.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah sepanjang tempoh kajian berkenaan adalah sebanyak 33.27 gram dadah jenis syabu dengan anggaran nilai harga semasa berjumlah RM1,663.50," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pihaknya turut menjalankan serbuan dalam Ops Sarang di tiga lokasi termasuk Kampung Sembulan, kawasan setinggan belakang Taman Flamingo dan kawasan Telipok Manggatal dekat sini pada 19 hingga 21 Ogos lepas.

Menurutnya, Ops Sarang terbabit bertujuan mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

"Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement