Anda di sini

Sivik masyarakat harus seiring dengan kemajuan

Advertisement
 Shafie (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Yusof Yacob (dua dari kiri) dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Ariffin Asgali (kiri).
PELANCARAN: Shafie (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Yusof Yacob (dua dari kiri) dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Ariffin Asgali (kiri).

KOTA KINABALU: Kesedaran sivik masyarakat perlu seiring dengan pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tidak ada gunanya mempunyai bangunan pencakar langit sekiranya moral masyarakat masih berada pada tahap yang rendah.

"Pelbagai usaha dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam membangunkan bandar ini.

"Namun, ia akan menjadi sia-sia sekiranya masyarakat tidak menerapkan nilai-nilai seperti menjaga kebersihan, kesopanan dan adab yang baik serta keharmonian dalam hidup berbilang kaum.

"Ia kerana, pelancong dan pelabur yang datang bukan hanya melihat kepada keindahan alam atau bangunan-bangunan di negara kita, tetapi turut melihat kepada rakyatnya," katanya dalam Majlis Pelancaran 'KK Moving Forward' di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, semalam.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman berkata visi baharu telah ditetapkan untuk DBKK iaitu 'KK Sejahtera' sementara enam misi lagi digariskan sebagai panduan.

"Sesi pada pagi ini adalah pemula kepada beberapa aktiviti yang dirancang dan memberi penerangan kepada awam mengenai DBKK baharu beserta budaya korporat terkini iaitu pantas ke hadapan, inovatif, efisien dan efektif.

"Kesinambungan pelancaran hari ini, kita akan mengadakan 'Sesi Town Hall' pada 24 Ogos di bangunan ibu pejabat bagi memberi peluang kepada DBKK berinteraksi dengan masyarakat setempat dan mendapatkan pandangan serta cadangan tentang hal membabitkan bandar ini.

"Pada hari berikutnya pula, sejajar dengan Kempen KK Bersih dan landskap yang cantik, kita akan mengadakan Program KK Bersih di Taman Awam Teluk Likas.

"Beberapa komponen khusus dalam kempen ini ialah kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani pembuangan sampah, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan memperkenalkan kitar semula serta guna semula," jelas beliau.

Turut berlangsung dalam program itu adalah lafaz ikrar kerahsiaan dan penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Penasihat DBKK.

Advertisement