Anda di sini

Pemandu kereta sewa ditahan cabul penumpang

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang pemandu kereta sewa ditahan selepas mencabul penumpang wanitanya berumur 18 tahun di kawasan bukit Jalan Bukit Bunga Raja, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berumur 18 tahun menaiki kereta sewa terbabit dari Bandaran Berjaya kira-kira jam 12 tengahari.

"Mangsa yang baru tiba di terminal bas Bandaran berpindah menaiki kereta sewa terbabit berikutan kereta sewa dinaiki dari Kota Belud tidak dapat menghantarnya ke destinasi terakhir iaitu Hospital Queen Elizabeth (HQE).

"Sebaik menurunkan seorang penumpang lain yang turut menggunakan khidmat kereta sewa suspek di Kepayan, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan kemudian meminta suspek menghantarnya ke HQE bagaimanapun tidak diendahkan," katanya.

Menurutnya, sebaik melalui bulatan kecil berhampiran hospital, suspek kemudian menukar laluan ke Jalan Kepayan Ridge sebelum masuk di kawasan bukit dan memberhentikan kereta di Jalan Bukit Bunga Raja.

"Suspek kemudian meramas paha sebelah kanan mangsa sebelum mangsa memarahi suspek dan menunjukkan gambar abangnya dengan mendakwa mangsa sudah bertunang dengan individu di dalam gambar itu.

"Suspek bagaimanapun mengaku mengenali individu terbabit adalah abang mangsa dan mendakwa pernah bersekolah dengan abangnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan Kota Belud.

"Mangsa kemudian dihantar ke rumah pekerja Kantin HQE sebelum memberitahu kejadian kepada abangnya dan membuat laporan polis selepas dinasihati oleh abang mangsa. Susulan itu, suspek ditahan polis," katanya.

Beliau menegaskan polis memandang serius kejadian seumpama itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku.

  • oleh
  • Advertisement