Anda di sini

KKTP kenal pasti pemilik sewakan rumah mampu milik kepada orang lain

Advertisement
 Jaujan (tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis berkenaan.
GAMBAR KENANGAN: Jaujan (tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada majlis berkenaan.

TUARAN: Tindakan pemilik rumah mampu milik menyewakan kemudahan itu kepada orang lain dinasihat supaya mengembalikan rumah berkenaan kepada kerajaan sebelum tindakan tegas diambil.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, Kerajaan Sabah melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sudah mendapat laporan, mempunyai bukti dan kenal pasti pemilik berkenaan.

"Kita kini dalam proses melaksanakan tindakan 'pemutihan' terhadap kesemua pesalah ini, sebelum diambil tindakan, individu berkenaan dinasihatkan serah balik rumah mampu milik itu kepada kerajaan supaya kita boleh memberikan rumah itu kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.

"Kasihanilah mereka yang tiada rumah, kekayaan bebas untuk dicari sesiapa sahaja, tetapi jangan ambil kesempatan berasaskan sumber tidak halal," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Gotong Royong PPR Telipok Ria sempena Bulan Kemerdekaan, di sini semalam.

Beliau berkata, proses pemutihan yang dilaksanakan itu bukan sahaja di kawasan berkenaan, tetapi juga di seluruh negeri.

Katanya, Sabah adalah sebuah negeri yang paling banyak mendapat peruntukan rumah mampu milik di negara ini, tetapi masih tidak mencukupi.

"Kemungkinan unsur penyelewengan ini juga salah satu punca menyebabkan ramai rakyat tempatan di Sabah tidak mempunyai rumah.

"Usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan rumah mampu milik kepada rakyat tidak akan dicapai disebabkan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Jaujan yang juga Menteri KKTP berkata, tindakan mereka itu adalah salah dari segi undang-undang, mereka harus bersedia untuk menerima akibat daripada perbuatan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kebersihan persekitaran adalah penting kepada rakyat dalam usaha kerajaan membangunkan negara ini, khususnya negeri Sabah.

"Kita memerlukan rakyat yang sihat dalam pembangunan negara ini, dari segi tempat tinggal, makanan, persekitaran hidup dan sebagainya.

"Walaupun seseorang itu kaya tetapi tidak sihat, ia tidak berguna. Pada pendapat saya, persekitaran yang tidak bersih dan sihat bukan satu tanda kemajuan bangsa, bagi saya kebersihan itu adalah lambang majunya sesebuah bangsa itu," katanya.

Menurutnya, sampah juga perlu dibuang di kawasan yang disediakan dan bukannya ke dalam parit atau longkang akhirnya menyebabkan berlakunya banjir kilat akibat aliran air yang sumbat.

Katanya, kemudahan perparitan dan tong sampah sudah disediakan, minda rakyat itu perlu pandai berfikir untuk menggunakan segala kemudahan  dengan sebaik-baiknya.

  • oleh
  • Advertisement