Anda di sini

Kerajaan akan percepat urusan beri kelulusan pembangunan

Advertisement
 Pengarah Grand Liberty Sdn Bhd Datuk Tan Kar Leong (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Shafie (empat kanan) selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hotel Grand Liberty, semalam.
PENGHARGAAN: Pengarah Grand Liberty Sdn Bhd Datuk Tan Kar Leong (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Shafie (empat kanan) selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hotel Grand Liberty, semalam.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberi kerjasama baik kepada pihak swasta dan pelabur dalam usaha mempercepatkan sebarang urusan berkaitan proses mendapatkan lesen pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha itu sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam membantu merancakkan aktiviti pelaburan, sekali gus pertumbuhan ekonomi Sabah.

"Saya sudah memberi arahan kepada semua agensi terlibat dalam memberi kelulusan sama ada berkaitan pembangunan dan lain-lain, supaya prosesnya dipercepatkan.

"Kita tidak mahu pihak pelabur dan usahawan dibebankan dengan kelewatan untuk membangunkan apa juga sektor perusahaan yang mereka mahu laksanakan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hotel Grand Liberty (GL), di sini pada semalam.

Tambah Shafie, setiap pemberian kelulusan itu tidak akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya, tetapi tertakluk kepada isu berkaitan sama ada tanah, keselamatan dan sebagainya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan mengalu-alukan kehadiran pelabur luar ke Sabah dan beliau yakin usaha itu pasti memenuhi keperluan negeri, sekali gus memberi lebih banyak keuntungan kepada pelabur.

Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak swasta, pelabur dan kerajaan, tetapi akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.

Ia kerana, katanya, kerjasama itu bukan sahaja melibatkan pelaburan antara dua pihak, tetapi melibatkan lebih banyak pihak berkaitan dalam sektor pembinaan seperti proses pembelian simen, perabot, pengangkutan dan sebagainya.

"Kita alu-alukan supaya mereka (pelabur) dapat melabur sebanyak mungkin kewangan mereka yang ada untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita.

"Peluang pekerjaan bukan hanya dalam hotel, tetapi juga melibatkan sektor pembinaan... sudah pasti ini akan memberi ruang keadaan ekonomi semakin sihat dan meningkat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement