Anda di sini

Semarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Sibu

Advertisement
 (Dari kiri) Saiful, Oscar dan Chan pada sidang media di Sibu, semalam.
BERSEMANGAT: (Dari kiri) Saiful, Oscar dan Chan pada sidang media di Sibu, semalam.

SIBU: Orang ramai dijemput memeriahkan program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Sibu sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan diadakan pada 24 Ogos ini, di Pusat Warisan Sibu.

Menurut Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, pelbagai acara dan aktiviti akan diada-kan pada program yang di-anjurkan Jabatan Penerangan dengan kerjasama Persatuan Komuniti Sibu itu.

“Program akan bermula pada sebelah pagi di mana Ahli Parlimen Lanang Alice Lau akan melancarkan konvoi Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tun Tuanku Bujang.

“Konvoi yang akan disertai kira-kira 40 kereta dan motosikal ini akan bergerak mengelilingi sekitar bandar Sibu sebelum berakhir di Pusat Warisan Sibu.

“Sementara di sana (Pusat Warisan Sibu), kita akan mengadakan beberapa akti-viti lain seperti pertandingan mewarna, kuiz kenegaraan, nyanyian lagu patriotik dan deklamasi sajak.

“Manakala pada sebelah malam akan diadakan konsert mini yang menampilkan artis-artis tempatan berbilang kaum,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sibu Saiful Arini dan wakil Jabatan Penerangan Chan Suk Ling.

Ling turut berkata bahawa penganjuran program sedemikian mampu mempromosikan Sibu sebagai sebuah kawasan pelancongan.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat cintakan negara.

“Antara tujuan program ini adalah untuk menggalakkan orang ramai dan penyertaan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan untuk mengibar Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah, jabatan atau premis perniagaan.

“Ia bukan sahaja untuk membangkitkan semangat patriotisme malah untuk meningkatkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement