Anda di sini

Pertikaian tanah di Tambirat, polis mohon hentikan sebarang aktiviti sementara waktu. 

Advertisement
Lee bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan ASP Abdul Rahim Abdullah (kanan) dan Ketua Cawangan Khas IPD Kota Samarahan ASP Mohamad Ibrahim Jalaludin (kiri) pada sidang media.
Lee bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan ASP Abdul Rahim Abdullah (kanan) dan Ketua Cawangan Khas IPD Kota Samarahan ASP Mohamad Ibrahim Jalaludin (kiri) pada sidang media.

KOTA SAMARAHAN: Penduduk kampung dan syarikat yang terbabit dalam pertikaian tanah di Kampung Tambirat, Asajaya diminta menghentikan sebarang aktiviti di tanah seluas 57.4 hektar itu sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata cadangan itu adalah untuk memberi ruang kepada pasukan peguam kedua-dua pihak menjalankan siasatan berkaitan hak pemilikan tanah tersebut.

"Kita mohon kedua-dua pihak mengambil tindakan mahkamah berkaitan hak pemilikan tanah yang sedang dipertikaikan kerana kami (polis) tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya, cuma di sini kami menekankan isu keselamatan dan kententeraman awam.

"Justeru, kita menasihatkan agar kedua-dua pihak menghentikan dahulu sebarang aktiviti di tanah tersebut kerana kita tidak mahu berlaku konfrontasi yang boleh mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

"Sebaik-baiknya, peguam kedua-dua pihak berbincang untuk menyelesaikan pertikaian tersebut berlandaskan undang-undang," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Lee terdahulunya mempengerusikan dialog bersama penduduk kampung serta pihak syarikat berhubung pertikaian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

"Melalui sesi dialog tadi, kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan menghentikan sementara waktu aktiviti di tanah tersebut," jelas Lee. 

Menurutnya juga, sebanyak 19 laporan polis diterima daripada penduduk kampung dan empat daripada syarikat sejak 8 Julai.

"Siasatan telah dijalankan dan ia fokus kepada pelakuan yang ada unsur-unsur jenayah," katanya.

Lee selain itu turut menegaskan pihaknya kini dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh mengugat kententeraman awam.

"Pemantauan akan dilakukan dari masa ke semasa dan begitu juga Unit Anti Rusuhan (PORU) kita juga sentiasa dalam keadaan bersiap sedia cuma kita mohon agar kedua-dua pihak jangan mengambil tindakan di luar batas undang-undang," katanya.

Hadir sama dalam sesi dialog tersebut ialah pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Pejabat Residen Samarahan serta Ketua-ketua Masyarakat.
 

  • oleh
  • Advertisement