Anda di sini

Pengurusan kes pecah amanah bekas Setiausaha Agung FAS ditetapkan 30 September 

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Sesyen menetapkan 30 September hadapan sebagai tarikh pengurusan kes bagi kes pecah amanah melibatkan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Ismail@Razali Dolhan. 

Hakim Marutin Pagan menetapkan tarikh demikian untuk membolehkan pihak pendakwaan menyediakan dokumen di bawah Seksyen 51A Akta Kanun Tatacara Jenayah. 

Mahkamah juga menetapkan 26 hingga 28 November sebagai tarikh perbicaraan. 

Hari ini merupakan sebutan bagi kes pecah amanah melibatkan penyelewengan dana FAS berjumlah RM191,298.70.  

Terdahulunya, kes ini dikendalikan oleh Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad. 

Namun, Dayang menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan berikutan beliau mengenali Razali serta keluarganya.

Penarikan diri ini juga bertujuan untuk memastikan integriti prosiding dipelihara serta mengelakkan kemungkinan berat sebelah.

Justeru, kes kini dikendalikan oleh Hakim Marutin Pagan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof.

Tempoh ikat jamin bagi Razali pula dilanjutkan sehingga pengurusan kes berlangsung pada tarikh berikutnya.

Razali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 2 Ogos lalu atas tiga pertuduhan penyelewengan dana FAS yang dilakukannya pada 2017.

Razali yang kini merupakan ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Razali diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan dan dia diarahkan untuk melaporkan diri ke Balai Polis Gita dua minggu sekali.

  • oleh
  • Advertisement