Anda di sini

Tiada kerajaan melainkan GPS dapat bangunkan Marudi, kata Penguang

Advertisement
 Penguang (empat kanan) bersama yang lain semasa hadir pada majlis Dialog Perdana Bersama Ahli Majlis, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Kawasan DUN N76 Marudi di Dewan Masyarakat Beluru, kelmarin.
TERBAIK: Penguang (empat kanan) bersama yang lain semasa hadir pada majlis Dialog Perdana Bersama Ahli Majlis, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Kawasan DUN N76 Marudi di Dewan Masyarakat Beluru, kelmarin.

BELURU: Kira-kira RM583 juta sudah diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan sistem jalan raya dan projek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di kawasan Marudi dan Beluru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Penguang Manggil berkata, kesemua projek pembangunan itu sudah dan sedang dilaksanakan bermula 2016 hingga tahun ini bagi memberi manfaat dan kesejahteraan kepada penduduk di kawasan tersebut dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Bagaimanapun, semua projek pembangunan yang sudah dirancang ini hanya berjaya dilaksanakan sekiranya rakyat terus menyokong pimpinan kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Justeru, rakyat harus membuat pilihan yang tepat dengan hanya memilih kerajaan yang benar-benar dapat membawa pembangunan untuk rakyat.

“Tiada kerajaan lain yang dapat menguruskan negeri kita dengan baik melainkan kerajaan pimpinan GPS,” katanya pada Dialog Perdana Bersama Ahli Majlis, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Kawasan DUN N.76 Marudi di Dewan Masyarakat Beluru, kelmarin.

Penguang yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan berkata, daripada projek itu yang sudah disiapkan ialah baik pulih Jalan Miri-Marudi, projek bekalan air bersih Beluru Fasa 2 dari Pekan Beluru ke Rumah Pengabang, manakala yang sedang dilaksanakan ialah Tebingan Sungai Marudi, Jalan Marudi-Mulu Fasa 1 dan Program Grid Bekalan Air Sarawak Wilayah Utara di pekan Beluru dan Marudi.

“Sebahagian peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek khas yang dibiayai kerajaan Sarawak ini sudah dibelanja dan belum kerana terdapat projek yang baharu diluluskan.

“Sejak 2017 kita sudah melaksanakan sebanyak 88 projek di bawah RTP dengan 29 projek dilaksanakan pada tahun ini dengan fokus utama menyediakan bekalan air bersih dan bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, bagi kawasan Marudi antaranya kerja menaik taraf Jalan Miri-Marudi, pembinaan dan pelebaran Tebingan Sungai Marudi, Jambatan Marudi, jambatan baharu Sungai Arang, projek bekalan elektrik di Baram Hilir, pembinaan jalan Marudi-Mulu, naik taraf tua pek kong dan dewan serba guna serta masjid, naik taraf Kubu Fort Marudi dan pembinaan lima jambatan baharu menggantikan jambatan bailey sepanjang Jalan Miri-Marudi.

Manakala, di Beluru meliputi naik taraf dan baik pulih Jalan ke kampung-kampung Beluru Fasa 1 dan ke kampung-kampung Beluru/Tinjar/Baram Hilir Fasa 2, menurap jalan masuk ke rumah panjang sepanjang Jalan Beluru ke Long Lama, bina baru Dewan Masyarakat Tinjar di Lapok, naik taraf dan bina gereja dan Skim Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES) meliputi projek bekalan air bersih Beluru Fasa 2 (Pekan Beluru ke Rumah Pengabang) dan projek bekalan air bersih Beluru dan Tinjar Fasa 2.

Penguang berkata, beliau mahu rakyat di kawasan Marudi dan Beluru tahu keseluruhan projek pembangunan yang sudah dan bakal dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya mahu bersikap telus agar semua pihak tahu hala tuju pembangunan khususnya projek utama seperti infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik selain UNIFOR,” katanya.

Mengenai dialog itu, Penguang berkata ia bertujuan mengemas kini maklumat pembangunan kepada ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum dan kaunselor di Marudi dan Beluru.

Pada majlis tersebut Penguang turut menyampaikan anak pokok durian Musang King kepada wakil rumah panjang di kawasan tersebut dan merasmikan naik taraf Dewan Masyarakat Beluru.

Advertisement