Anda di sini

Konsert minggu pertama Big Stage 2019 malam ini

Advertisement
ADZRIN
ADZRIN
DINDA PERMATA
DINDA PERMATA
SANTESH
SANTESH
SYADA AMZAH
SYADA AMZAH

SELEPAS menobatkan Sarah Suhairi sebagai juara musim pertama tahun lalu, pertandingan nyanyian berkonsepkan program realiti, Big Stage yang menampilkan generasi alaf baharu BBNU kembali lagi untuk musim yang kedua.

Masih mengekalkan konsep asal, penganjuran Big Stage 2019 juga turut merintis inisiatif membuka ruang perkongsian karya muzik di peringkat antarabangsa kepada penyertaan barisan bintang dari dalam dan luar negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Korea Selatan.

Pentas Big Stage 2019 juga bakal menyaksikan persaingan sengit di antara 12 bintang BBNU selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara untuk musim kedua ini.

Dua belas bintang tersebut adalah terdiri daripada enam bintang lelaki iaitu Adzrin, 19, dari Kuala Lumpur; Aziz Harun, 21, Brunei; Han-Byul, 29, Korea Selatan; Irfan Haris, 18, Johor Bahru; Kucaimars, 22, Negeri Sembilan; Santesh, 31, Selangor; manakala bintang wanita pula adalah Chaleeda, 18, Thailand; Dinda Permata, 27, Indonesia; Fieya Julia, 20, Sarawak; Neeta, 25, Kedah; Sheryl Shazwanie, 22, Selangor; dan Syada Amzah, 21, Kuala Lumpur.

Untuk pusingan minggu pertama yang bertemakan ‘Million Views’, kesemua peserta diberi cabaran untuk membawakan kembali sama ada lagu single sendiri atau lagu ‘cover’ nyanyian mereka yang menerima jutaan jumlah tontonan lantas berjaya meraih populariti luar biasa di laman sosial.

Adakah persembahan mereka mampu memikat hati barisan juri tetap yang bukan calang-calang iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan selain juga Mark Adam yang dijemput istimewa untuk memeriahkan pusingan pertama pada minggu ini selaku juri jemputan.

Jangan lupa untuk menonton siaran langsung Konsert Big Stage 2019 (Minggu Pertama) yang akan disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) malam ini, bermula jam 9 malam dari Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Program ini turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Gempak, Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama Big Stage 2019 juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).

Untuk pengisian di platform digital pula, program Big Stage Live Plus akan disiarkan secara langsung bermula jam 8.50 malam di laman sesawang www.bigstage.gempak.com ketika berlangsungnya konsert mingguan.

Big Stage 2019 masih lagi mengekalkan selebriti popular Alif Satar dan Sherry Al Hadad sebagai pengacara musim ini selepas maklum balas positif yang diterima sewaktu mereka digandingkan buat pertama kali pada musim pertama.

Juara Big Stage 2019 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro.

Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Advertisement