Anda di sini

Agenda Sabah Baharu sukar dicapai tanpa penglibatan rakyat

Advertisement
 Peserta-peserta SMART merakam foto bersama Osman dan Ghani. Turut kelihatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Balung yang baharu, Abd Gani Zelika.
SMART: Peserta-peserta SMART merakam foto bersama Osman dan Ghani. Turut kelihatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Balung yang baharu, Abd Gani Zelika.

TAWAU: Matlamat Kerajaan Negeri mencapai agenda Sabah Baharu sukar dicapai jika perubahan hanya dilakukan di peringkat Kabinet tanpa penglibatan daripada rakyat.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung; Datuk Osman Jamal berkata, sokongan rakyat perlu khususnya berkaitan isu pengagihan ekonomi, kemiskinan dan pengangguran.

“Memang betul pertumbuhan ekonomi baik (semasa kerajaan terdahulu), tetapi jurang pengagihan ekonomi antara orang miskin dan kaya (ketika itu) sangat besar,” katanya.

 Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Program SMART (Sukses, Matang, Aktif, Rasional dan Tanggungjawab) di sini pada petang Sabtu.

Program terbabit dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tawau dengan kerjasama Skuad AADK Tawau serta dihadiri seramai 40 sukarelawan.

Mengulas lanjut Osman berkata, pengagihan ekonomi kurang baik berlaku apabila peruntukan yang diturunkan Kerajaan Persekutuan selalunya dikuasai pihak sama sahaja.

“Akibatnya kemiskinan meningkat dan sebab itulah kerajaan hari ini mahu mengkaji balik tatacara yang ada, bukan sebab kita tidak mahu melakukan pembangunan.

 “Tetapi kita kena berhati-hati supaya ada kesan positif dicapai dan kita tahu rakyat mahukan pembaharuan tetapi semua perlu berubah untuk mencapai Sabah Baharu.

“Tanpa modal insan yang baik, tidak mungkin kita boleh melakukan perubahan dan kita perlu mengelak elemen negatif seperti salah guna dadah dan rasuah,” katanya. 

Menyentuh mengenai SMART pula, beliau berkata elemen-elemen positif yang diterapkan di dalam program itu amat baik untuk membina jati diri golongan anak muda.

Beliau optimis matlamat Sabah baharu boleh dicapai jika semua elemen positif SMART dapat diterapkan ke dalam diri anak muda mendepani pelbagai cabaran mendatang.

 Ketua Pegawai AADK Tawau Abdul Ghani Keruput berkata SMART adalah program tahunan AADK yang melibatkan penyertaan utama dalam kalangan anak muda.

 “Golongan belia terdedah dengan aktiviti penyalahgunaaan dadah dan sebab itu penting untuk kita bekalkan maklumat kepada mereka mengenai bahaya yang ada,” katanya.

Ghani berkata misalnya maklumat atau tip awal untuk mengenali penagih dadah seperti mempunyai karektor makan mahu kenyang, cakap mahu menang, dan kerja mahu senang.

  • oleh
  • Advertisement